Sebelum ini kami melaporkan Saniniu Laizer, seorang pelombong berskala kecil di Tanzania bergelar jutawan dalam masa sehari selepas menjual dua batu Tanzanite yang dijumpainya.

Laizer dilaporkan mengutip USD3.4 juta (RM14.55 juta) daripada Kementerian Perlombongan Tanzania yang membeli batu tersebut. Kedua-dua batu Tanzanite itu mempunyai berat berjumlah 15kg.

Laizer nyata sangat bertuah kerana dalam masa kurang dua bulan selepas bergelar jutawan segera hasil penemuan tersebut, beliau menemui satu lagi batu Tanzanite.

Kali ini Laizer menemui satu lagi batu Tanzanite seberat 6.3kg yang bernilai USD2 juta (RM9 juta).

Batu Tanzanite merupakan batu permata paling jarang dijumpai di dunia dan hanya boleh dijumpai di Tanzania. Pakar geologi menganggarkan bekalan batu tersebut dijangka akan habis dalam masa 20 tahun dari sekarang.

Tanzanite digunakan sebagai batu permata seperti batu delima (ruby), berlian (diamond), nilam (sapphire) dan zamrud (emerald).

Nilai Tanzanite ditentukan berdasarkan berat dan kepelbagaian warnanya seperti hijau, merah, ungu dan biru. Semakin banyak kepelbagaian warnanya, semakin mahal harganya.

Sebelum ini Laizer merancang untuk melaburkan kekayaan barunya untuk membina kompleks membeli belah dan sekolah. Selepas penemuan terbaru ini, bapa kepada 30 anak ini mahu membina sebuah lagi sekolah dan hospital.

Baca lagi artikel lain yang berkaitan:

Sumber: