Pelombong berskala kecil di Tanzania bergelar jutawan dalam masa sehari selepas menjual dua batu Tanzanite yang dijumpainya. Dua batu Tanzanite tersebut merupakan penemuan terbesar di Tanzania.

Saniniu Laizer dilaporkan mengutip USD3.4 juta (RM14.55 juta) daripada Kementerian Perlombongan Tanzania yang membeli batu tersebut. Kedua-dua batu Tanzanite itu mempunyai berat berjumlah 15kg.

Rekod batu Tanzanite terbesar sebelum ini hanyalah seberat 3.3 kg.

Batu Tanzanite merupakan batu permata paling jarang dijumpai di dunia dan hanya boleh dijumpai di Tanzania. Pakar geologi menganggarkan bekalan batu tersebut dijangka akan habis dalam masa 20 tahun dari sekarang.

Tanzanite digunakan sebagai batu permata seperti batu delima (ruby), berlian (diamond), nilam (sapphire) dan zamrud (emerald).

Embed from Getty Images

Nilai Tanzanite ditentukan berdasarkan berat dan kepelbagaian warnanya seperti hijau, merah, ungu dan biru. Semakin banyak kepelbagaian warnanya, semakin mahal harganya.

Embed from Getty Images

Laizer yang melombong dua batu Tanzanite seberat 9.2kg dan 5.8kg pada minggu lepas, menjualnya kepada kerajaan Tanzania dalam acara perdagangan di utara Manyara.

Presiden Tanzania, John Magufuli mengucapkan tahniah kepada Laizer atas penemuannya. “Ini membuktikan Tanzania kaya dengan khazanah alam dan memberi manfaat kepada pelombong kecil seperti Laizer,” katanya.

Ketika ditanya oleh media apa yang akan dilakukannya dengan duit jualan batu Tanzanite penemuannya, Laizer menjawab:

“Saya akan buat parti besar-besaran esok,” kata bapa 30 anak ini kepada BBC.

Rancangan Laizer dengan duit jualan Tanzanite

Laizer yang berusia 52 tahun dan mempunyai empat orang isteri turut berkata beliau akan mengorbankan seekor lembu untuk dijamu dalam partinya.

Beliau juga berhasrat untuk melaburkan kekayaan barunya kepada komuniti tempat duduknya di daerah Simanjiro di Manyara.

Embed from Getty Images

“Saya nak bina kompleks membeli belah dan sekolah. Saya nak sekolah tersebut dibina berdekatan dengan rumah saya. Ramai orang miskin di kawasan kami yang tak mampu hantar anak mereka ke sekolah.

“Saya tak pernah masuk sekolah. Tapi saya nak segalanya dijalankan secara profesional. Jadi saya nak anak-anak saya menjalankan perniagaan dengan duit ini.

Laizer turut menegaskan kekayaan baru ini tidak akan mengubah gaya hidupnya. Beliau ingin terus mengembala 2,000 lembu miliknya. Malah beliau turut memberitahu tidak akan mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan dirinya.

“Sekuriti daripada polis dah mencukupi di sini. Tak ada masalah. Saya boleh jalan pada waktu malam tanpa masalah.”

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: