Seorang wanita berusia 27 tahun, Nur Rashima Murat nekad belajar cara-cara solat dan mengerjakannya lima waktu secara konsisten selepas 26 tahun tinggal ketika menjalani proses kuarantin di rumah.
Wanita yang mesra dipanggil Shima itu diperintah oleh kerajaan Singapura untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari percutian di Eropah.
mStar melaporkan wanita ini mula terdetik untuk belajar cara-cara solat semasa hubungan beliau dengan tunangnya mengalami masalah pada awal tahun lepas. Beliau putus tunang pada Mac 2019.
Mengulas mengenai perkongsian gambarnya di media sosial:
“Gambar nota-nota tu di sejadah tu saya ambil pada April 2019, tapi baru saya ada keberanian untuk berkongsi kepada umum.
“Jujurnya, sepanjang saya hidup 26 tahun ketika itu, saya tak pernah sekali solat atau mengaji. Bukan ibu bapa tak nak ajar, tapi diri sendiri yang belum nak belajar solat.”
Meskipun sudah mula berjinak-jinak untuk belajar solat selepas 26 tahun tinggal, rakyat Singapura ini mengakui kesukaran paling besar yang dihadapinya adalah konsistensi dan malu.
“Mula-mula tu susah juga, terkial-kial. Saya cuma cuma solat Isyak dan Subuh. Saya belajar pada waktu malam sebab semua orang dah tidur.
“Saya rasa malu nak solat dengan nota-nota tu, tak yakin. Saya masih solat tapi tak ambil inisiatif untuk menghafal setiap bacaan.
Shima yang menetap di Choa Chu Kang berkata sepanjang tempoh dua minggu menjalani proses kuarantin di rumah inilah barulah pintu hatinya terbuka untuk belajar solat secara serius.
“Saya banyak tinggal solat dan inilah waktu untuk perbaiki solat saya. Saya hanya duduk rumah semasa kuarantin dan nekad untuk belajar solat betul-betul.
“Alhamdulilah sekarang saya dapat solat dengan tenang. Saya tak pakai nota-nota tu lagi sebab dah hafal. Surprisingly, saya hanya mengambil masa sehari untuk hafal semua.
“Saya rasa kalau tak kerana wabak Covid-19 dan self quarantine ni, saya akan tetap malas and tak nak belajar solat betul-betul. Ia membuka mata saya.
“Saya juga gembira dapat mempengaruhi kawan yang sebelum ni pun tak pernah solat lima waktu. Sekarang saya nampak dia solat depan mata saya. Dia juga berjaya melakukannya!
“Dan sekarang ia menjadi satu kewajipan untuk solat dan saya tidak akan terlepas melakukannya.”
“Saya tak nak orang di luar sana malu untuk belajar solat walaupun umur sudah meningkat. Belajar solat dengan cara atau susah macam mana sekali pun kerana saya percaya suatu hari nanti semua usaha ini berbaloi. InsyaAllah dosa kita dapat diampun olehNya.”
Shima sekarang telah selesai menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu tanpa mengalami sebarang gejala COVID-19.