Ingat lagi meme Success Kid ini? Ini cerita bagaimana budak lelaki dalam gambar meme ini menggunakan popularitinya untuk menyelamatkan bapanya.

Meme ini sangat popular sekitar tahun 2011 dan 2012, terutamanya di 9Gag. Ia digunakan untuk menjelaskan kejayaan yang tak disangka-sangka. Contohnya adalah seperti di bawah:

Ia menjadi sangat popular sehinggakan pada tahun 2013, akaun Twitter White House di Amerika Syarikat turut menggunakan meme ini.

Gambar ini pada asalnya dimuat naik oleh ibu budak ini, Laney Griner pada 26 Ogos 2007 di akaun Flickr beliau. Pada ketika itu, anaknya, Sammy Griner baru berusia 11 bulan.

Muka Sammy yang nampak ‘puas hati’ beserta dengan genggaman tangannya itu kemudiannya diambil oleh pengguna Internet untuk menjelaskan situasi kejayaan yang tak disangka-sangka. Ia mula diguna dan disebar di MySpace, Damn Funny Pictures dan Daily Haha.

Tetapi ia hanya mula menjadi meme tular di peringkat global selepas dimuat naik ke Reddit pada 28 Januari 2011. Populariti Redditlah yang membuatkan gambar Sammy menjadi tular sehingga dikenali sebagai meme Success Kid.

Populariti gambar Sammy membolehkan ibunya meraih sedikit wang hasil daripada penjualan hak imej di platform Getty Images dan Flickr.

Contohnya pada Februari 2012, syarikat Virgin Media di Britain membeli gambar Sammy ini untuk kempen papan iklan syarikat mereka.

Beberapa bulan selepas itu, gambar Sammy dibeli pula oleh sebuah syarikat air vitamin di Amerika Syarikat.

Success Kid selamatkan bapa

Pada April 2015, ibu Sammy melancarkan kempen mengumpul dana di GoFundMe untuk membantu membiayai kos ubat pembedahan transplan buah pinggang bapanya.

“Masalah mula timbul selepas pembedahan transplan buah pinggang saya,” kata bapa Sammy, Justin Griner. “Kos membeli ubat-ubat yang perlu saya makan selepas pembedahan tidak ditanggung oleh insurans.”

“Jika saya tak dapat duit untuk membeli ubat-ubat tersebut, saya tak boleh jalani pembedahan transplan buah pinggang saya. Ini kerana tanpa ubat tersebut, badan saya akan serang buah pinggang baru saya.”

Kempen tersebut berjaya hasil publisiti media. Hanya dalam masa seminggu, Laney berjaya mengumpul kira-kira USD100,000 (RM434,750) – melebihi sasaran kempen iaitu sebanyak USD75,000 (RM326,063).

Laney mengumumkan kejayaan kempen tersebut di akaun Instagram beliau.

“Dia (Sammy) selalu ingatkan saya yang dia dah selamatkan hidup saya. Saya takkan lupakan jasanya sampai bila-bila,” kata Justin mengenai sumbangan populariti anaknya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: