Sejak pelancaran rasmi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari 2021 dan sehingga 8 Ogos 2021, sebanyak 24.5 juta suntikan dos vaksinasi telah diberikan di Malaysia. Seramai 15.77 juta (67.4%) individu dewasa telah menerima dos pertama vaksin dan 8.77 juta (37.5%) individu dewasa pula telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Semalam, kerajaan telah mengumumkan keputusan untuk memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke atas semua fasa. Kemudahan tersebut akan mula berkuat kuasa mulai hari esok, 10 Ogos ini. Beberapa kemudahan dan kelonggaran kepada individu lengkap vaksinasi untuk negeri di Fasa 2 PPN dilihat akan dapat mengaktifkan kembali ekonomi negara.

Namun begitu, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua bagi penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac. Manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan untuk dianggap sudah lengkap menerima vaksin.

Menerusi kemudahan itu, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing. Berikut merupakan ringkasan untuk beberapa kemudahan yang diumumkan oleh kerajaan kepada mana-mana individu yang telah menerima vaksin lengkap.

Perubahan SOP Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/671313/jawi-benarkan-pertambahan-jemaah-solat-fardu-di-masjid
  1. Pengembara warganegara/bukan warganegara termasuk Pemastautin Tetap (PR) atau peserta Malaysia MY Second Home) dan lengkap vaksin dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah dengan menggunakan HSO digital;
  2. Pasangan jarak jauh (PJJ) yang telah lengkap dua dos dibenarkan untuk rentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing;
  3. Ibu bapa yang telah lengkap dua dos dibenarkan untuk rentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun;
  4. Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan untuk penerima lengkap dua dos vaksin sahaja; dan
  5. Penganut bukan Islam juga dibenarkan untuk menghadiri rumah-rumah ibadat. Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam.

Perubahan SOP Fasa 2 dan Fasa 3 PPN

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/703856/9-sekatan-jalan-raya-di-kl-metrotv
  1. Aktiviti rentas daerah dibenarkan, hanya tunjuk sijil digital vaksin lengkap kepada pasukan penguatkuasa di sekatan jalan raya;
  2. Aktiviti makan secara ‘dine-in’ di restoran, kedai makan dan club house dibenarkan. Pelanggan hanya perlu tunjuk sijil digital vaksin lengkap;
  3. Anak di bawah 17 tahun boleh dibawa bersama untuk aktiviti ‘dine-in’ tetapi perlu mematuhi SOP yang ketat;
  4. Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dibenarkan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam;
  5. Aktiviti sukan seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya dibenarkan; dan
  6. Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan ‘homestay’ dan hotel untuk penerima lengkap dua dos vaksin.

Senarai negeri mengikut Fasa PPN

Kredit gambar: https://www.facebook.com/MKNJPM/photos/a.1829514137151484/3633669913402555/

Setakat hari ini, 9 Ogos 2021, berikut merupakan senarai negeri mengikut Fasa masing-masing di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Fasa 1 PPN: Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor;
Fasa 2 PPN: Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah;
Fasa 3 PPN: Perlis, Labuan dan Sarawak.