Huang Wei, lebih dikenali dengan nama pentasnya Viya merupakan personaliti media sosial dari China. Viya sangat terkenal dengan penggunaan aplikasi Taobao bagi menjual barang mahupun mempromosikan perniagaan.

Oleh kerana kehandalannya menjual, Viya digelar sebagai Ratu Live Streamer di China. Namun begitu, Viya terpalit dengan isu ketidakpatuhan cukai yang akhirnya menjerutnya.

Ini kisah kejayaan dan kejatuhan Ratu Live Streamer China.

Bermula sebagai peniaga kecil

Kredit gambar: Pandaily

Viya dilahirkan di dalam keluarga peniaga di kawasan Anhui. Pada usia seawal 18 tahun, beliau mula menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai sendiri di Beijing.

Operasi perniagaan Viya meletakkannya di hadapan dan tidak kekok bagi menjual apa sahaja yang memberi keuntungan lumayan. Manakala, teman lelakinya pula menjalankan operasi di belakang tabir.

Viya mula terkenal apabila menyertai program realiti tv Super Idol dan menjadi ahli kepada sebuah kumpulan muzik. Selepas itu, Viya mula membuka lebih banyak kedai dan membesarkan perniagaannya.

Hanya pada tahun 2012, Viya mula menukar fokus perniagaan kepada e-commerce. Pada tahun 2016 pula, Viya mendaftar untuk menyertai program live streaming kelolaan Taobao.

Sebagai salah seorang live streamer terawal, Viya mula mengecap kejayaan.

Mampu menjual apa sahaja

Kredit gambar: Sixth Tone

Pada tahun 2020, Viya dianggap sebagai pelaris paling ampuh di kaca Taobao. Mana tidaknya, channel miliknya mampu menjual apa sahaja termasuk pelancar roket. Dengan nilai sebesar $6 juta, pelancar roket tersebut berjaya menambat hati pembeli.

Pemilihan barangan yang dijual juga sangat teliti. Tanpa mengira jenama, Viya sangat cerewet dengan kualiti barangan tersebut bagi memastikan hanya barangan terbaik akan dipasarkan.

Ketika sambutan Single’s Day untuk tahun berikutnya, personaliti popular ini berjaya meraih jualan tertinggi. Barangan yang bernilai sebanyak $1.3 bilion terjual melalui akaun Taobao miliknya.

Ia membawa kepada gelaran Ratu Live Streamer kepada dirinya.

Isu cukai yang menjatuhkannya

Kredit gambar: Blaze Trends

Laporan Bloomberg pada tahun 2020 menganggarkan ekosistem perniagaan yang diterajui Viya bernilai $60 bilion. Namun begitu, Viya juga jatuh di puncak kerjayanya.

Kerajaan China berusaha mendapatkan wang cukai yang dikatakan tidak dibayar oleh hampir 1,000 live streamer di seluruh negara. Sebagai live streamer paling popular, Viya juga tidak terkecuali.

Atas kesalahan tidak membayar cukai, Viya terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal. Cukai dan denda sebanyak $210 juta dikenakan ke atas beliau.

Viya sempat memohon maaf di akaun Weibo miliknya. Namun selepas itu, akaun Weibo milik personaliti itu disekat kerajaan. Selain itu juga, akaun Taobao milik Viya dengan 18 juta pengikut turut disekat.