Seorang bekas pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) memperolehi pendapatan RM5,000 sebulan dengan menawarkan perkhidmatan menyembur racun di sawah padi menggunakan dron.

Mohd Saifullah Halim, 22, dari Kampung Paya Nedam memulakan bisnes perkhidmatannya ketika tempoh Perintah Kawalan Perintah (PKP) pada April lepas.

Beliau yang sebelum ini mengambil jurusan teknologi plastik di ILP Jitra berkata kepada BERNAMA, perkhidmatan itu menjana pendapatan lumayan baginya.

Mohd Saifullah mengendalikan dron miliknya untuk menyembur racun di sawah (Foto: BERNAMA)

“Ia keputusan tepat saya buat selepas habis belajar. Saya mulakan dengan seunit dron yang dibeli untuk kegunaan di sawah keluarga seluas 11 hektar. Lama kelamaan saya mendapat tawaran daripada beberapa kenalan ayah dan penduduk kampung.

“Kemudian permintaan terhadap perkhidmatan itu meningkat secara mendadak dalam tempoh (PKP).

Saya kemudian membeli sebuah lagi dron untuk memenuhi permintaan petani yang meningkat di sekitar daerah ini.”

Mohd Saifullah berkata, setiap hari dia dan dua pembantunya mampu menyembur racun sehingga 10 hektar dengan menerima upah antara RM12 hingga RM20 bagi setiap 0.29 hektar sawah.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, peningkatan permintaan berlaku disebabkan ramai petani lebih berhati-hati untuk keluar rumah ketika PKP.

“Selain itu, mereka suka semburan menggunakan dron yang lebih menyeluruh dan dapat meningkatkan hasil berbanding semburan biasa menggunakan pam.

“Musim ini saya mendapat tempahan sehingga ke daerah Yan dan Alor Setar,” katanya yang meraih pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Sehubungan itu, beliau mengajak lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang teknologi ini.

“Peluang masih cerah dan tak ramai lagi menawarkan perkhidmatan semburan menggunakan dron,” katanya yang turut menerima tempahan semburan racun dan baja daripada pekebun sayur.

Kaedah sembur racun guna dron semakin dapat sambutan

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian, kaedah menyembur racun menggunakan dron semakin mendapat sambutan petani bukan sahaja semasa PKP. Malah sebelum PKP lagi.

Berikutan peningkatan minat ini, Jabatan Pertanian telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) semburan racun perosak menggunakan teknologi tersebut.

Penyemburan racun perosak menggunakan dron telah mula digunakan di kawasan penanaman padi di Kawasan Muda, Kedah dan Barat Laut, Selangor.

Ia adalah kaedah terkini yang lebih mudah dan pantas untuk menyembur racun perosak. Penggunaan teknologi untuk menyembur racun perosak memudahkan pengguna dan menjimatkan masa.

Namun begitu, beberapa perkara lain seperti kesan sampingan kepada orang awam dan alam sekitar juga perlu diberi perhatian, jelas Jabatan Pertanian.

Pemohon yang berminat untuk menggunakan dron untuk menjalankan semburan racun hendaklah mengisi Borang Permohonan Kebenaran Menjalankan Semburan Racun Perosak Menggunakan Dron.

Borang permohonan hendaklah di hantar kepada Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Kuala Lumpur.

SOP ini boleh dimuat turun melalui lawan web Jabatan Pertanian melalui pautan berikut:

(Sila klik) SOP Semburan Racun Perosak Menggunakan Dron

Baca juga artikel lain yang berkaitan: