Pengguna dan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) kini boleh melakukan hampir keseluruhan transaksi kewangan dan urusan lain yang berkaitan haji secara dalam talian. Ini termasuk proses dengan membuka akaun, mendeposit wang ke dalam akaun, menyemak baki dan rekod akaun, mendaftar untuk mengerjakan ibadah haji sehinggalah mengemukakan rayuan ibadah haji.

Kemudahan perkhidmatan dalam talian ini disediakan sejak tahun 2020 menerusi platform THiJARI. Sejak diperkenalkan pada Februari 2020, platform THiJARI sudah menerima 800,000 pengguna di laman web manakala aplikasinya pula kini mempunyai 400,000 pengguna. Menurut Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad pengenalan platform ini adalah antara faktor TH berjaya mencapai sasaran jumlah simpanan pendeposit sebanyak RM80 bilion, lebih awal daripada jangkaan.

Sasaran awal TH berbanding tahun 2020 adalah untuk mencapai deposit sebanyak RM80 bilion pada hujung tahun ini. Namun begitu, melalui platform THiJARI, ia akhirnya dicapai dalam masa lima bulan sahaja. Pada penghujung tahun lepas, TH mencatatkan deposit terkumpul sebanyak RM75.9 bilion. Jumlah pendeposit aktif TH yang kini hampir sembilan juta orang meningkat terutamanya dalam kalangan pendeposit muda

Inisiatif digitalisasi transaksi kewangan dan urusan haji oleh Lembaga Tabung Haji ini adalah bagi membolehkan pendepositnya membuat urusan mengikut keselesaan masing-masing dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa secara mudah. Menurut TH, tidak lama lagiĀ urusan pengesahan menerima tawaran haji dan membayar dam haji juga boleh dilakukan secara dalam talian.