Beberapa hari yang lalu, tular kisah pembatalan visa Novak Djokovic kerana tidak memenuhi syarat kemasukan ke Australia. Pemain tenis nombor satu dunia dari Serbia itu sebelum ini berbangga kerana mendapat pengecualian kesihatan untuk beraksi di Terbuka Australia.

Negara Serbia, memiliki rekod vaksinasi yang sangat rendah dek kerana kepercayaan setempat. Djokovic turut menolak pengambilan vaksin, dengan hanya 59.7 peratus rakyat negara beliau menerima dua dos suntikan.

Pembatalan visa oleh kerajaan Australia berdasarkan syarat tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara itu. Bagaimanapun, cabaran peguam Djokovic diterima oleh mahkamah. Hakim akhirnya memberitahu pihak kerajaan telah bersetuju untuk menggugurkan keputusan membabitkan visanya dan mengarahkan pembebasan segera Djokovic.

Kisah Novak Djokovic dan kepercayaan sempit atlet terhadap suntikan vaksin ini sebenarnya bukan cerita terpencil. Ini kisah atlet-atlet lain yang turut menolak pengambilan vaksin.

Joshua Kimmich

Kredit gambar: Marca

Antara nama yang paling mengejutkan berada di dalam senarai ini adalah Joshua Kimmich. Perancang tengah Bayern Munich ini antara yang terawal memberikan sokongan kepada kempen We Kick Corona bersama seorang lagi pemain bola sepak, Leon Goretzka.

Kempen tersebut adalah bagi menyokong pengambilan dan pemberian vaksin. Penolakan vaksin oleh Joshua Kimmich bagaimanapun tidak berlarutan panjang. Beliau sendiri dijangkiti oleh Covid-19 dan malangnya, jangkitan tersebut turut merosakkan paru-parunya.

Kini, Kimmich terpaksa berehat panjang dari sukan bola sepak. Beliau menyatakan rasa kesalnya kerana tidak mengambil vaksin dengan lebih awal.

Aaron Rodgers

Kredit gambar: Marca

Lagenda Green Bay Packers dan quarterback yang memenangi Super Bowl ini merupakan suara penentang vaksin. Sama seperti Joshua Kimmich, Aaron Rodgers turut dijangkiti oleh Covid-19. Beliau bagaimanapun bernasib baik kerana virus tersebut tidak menjejaskan kesihatannya.

Menurut Aaron, beliau tidak mempercayai kandungan vaksin dan alergik terhadapnya. Ketika dijangkiti virus tersebut, beliau hanya menerima rawatan alternatif.

Bagaimanapun, kesan jangka panjang penolakan vaksin Aaron ini menyebabkan syarikat berkaitan kesihatan yang menaja beliau menarik tajaan mereka.

Bryson DeChambeau

Kredit gambar: Golf Digest

Pengalaman dijangkiti virus itu menyebabkan Bryson DeChambeau menolak pengambilan vaksin. Ketika dijangkiti, beliau hilang berat hampir 4.5kg. Bryson bagaimanapun tidak dapat menyertai Sukan Olimpik Tokyo akibat Covid-19.

Alasan yang diberikan ialah beliau masih muda dan mampu melawan virus itu.