Sekiranya anda merupakan peminat kopi, sudah pasti pernah terlihat kopi jenis decaffeinated ataupun singkatannya, decaf. Ringkasnya, ia merupakan kopi yang telah melalui proses kimia bagi membuang kafien yang terkandung di dalam biji kopi tersebut.

Kajian oleh Mayo Clinic menunjukkan bahawa sebanyak 400g kafien dianggap sebagai pengambilan yang sihat untuk orang dewasa. Secawan kopi bersaiz 237ml yang telah dibru mengandungi 96mg kafien, atau puratanya 0.05 peratus. Selain kopi, kafien juga terkandung di dalam teh, coklat dan buah guarana.

Ada juga penggemar kopi yang tidak boleh mengambil kandungan kafien yang berlebihan. Maka, kopi decaf ini semakin mendapat tempat di hati peminat kopi yang tahu akan kelazatannya.

Namun begitu, tahukah anda kopi tanpa kafien ini sebenarnya berkembang disebabkan oleh pengaruh Adolf Hitler?

Sejarah kopi decaf di Jerman

Kredit gambar: GigaZine

Tidak diketahui siapa orang yang pertama berjaya melakukan proses pengasingan kafien dari kopi. Namun begitu, secara komersialnya ia berjaya dilakukan oleh Ludwig Roselius, peniaga kopi dari Jerman pada tahun 1903.

Teknik tersebut dipatenkan oleh beliau pada tahun 1906. Menurut lagenda, Ludwig beria-ia untuk mengasingkan kopi dari kafien kerana beliau yakin bahawa bapanya yang sangat menggemari kopi meninggal dunia disebabkan oleh kafien. Kisah ini dikatakan mempunyai asas kerana bapanya bekerja di dalam industri kopi.

Proses Roslius ini dilakukan dengan kopi distim dengan air yang dipekatkan dengan garam. Kemudian, sejenis bahan kimia dimasukkan sebagai pelarut bagi mengeluarkan kafien. Teknik ini tidak lagi digunakan pada hari ini kerana benzene, bahan kimia tersebut amat berbahaya kepada manusia.

Adolf Hitler dan propaganda keburukan kafien

Kredit gambar: The Independent

Selepas berjaya dengan ciptaannya, kopi decaf jenama Kaffee HAG keluaran Ludwig Roselius dijual secara meluas di Jerman. Ia akhirnya menjadi kopi yang sangat diminati oleh pimpinan tertinggi parti Nazi.

Sebagai ‘pelindung’ bangsa Aryan, Nazi melihat kopi decaf ini sebagai satu jalan untuk mengelakkan ketagihan kafien. Ini bagi memastikan penduduk Jerman, terutamanya bangsa Aryan bebas dari ketagihan dan kekal sihat.

Bagi menunjukkan keseriusan mereka, parti Nazi mula menyebarkan dakyah keburukan kafien dan kebaikan kopi decaf Kaffee HAG. Di dalam sebuah buku keluaran parti Nazi bertajuk The Hitler Youth (Die Hitlerjugend), ia turut menyatakan bahawa kafien sebagai racun terutamanya kepada golongan muda.

Secara tidak langsung, dakyah kafien sebagai berbahaya tersebar sama seperti propaganda Nazi dan ketuanan Bangsa Aryan.

Kopi decaf pada hari ini

Kredit gambar: BBC

Kafien secara semulajadi terhasil di dalam biji kopi, maka proses pengasingannya sehingga kini masih lagi menggunakan bahan kimia. Pada hari ini, proses decaf dilakukan dengan merendam biji kopi yang masih hijau di dalam pelarut kimia. Dua bahan yang biasanya digunakan adalah methylene chloride ataupun ethyl acetate. Methylene chloride juga digunakan sebagai penghakis cat dan juga pembersih.

Di dalam jumlah yang sangat sedikit, ia dikatakan masih berbahaya kepada tubuh badan manusia. Namun begitu, terdapat kajian yang menunjukkan kopi decaf di pasaran masih lagi mengandungi methylene chloride.

Dengan kajian yang mendalam dan terperinci tentang kebaikan kafien, maka adalah lebih selamat untuk meminum kopi pada ciptaan semulajadinya.