Selepas kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19, kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) juga mencatatkan jumlah yang tinggi. Sehingga semalam, 2 Julai 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 5,327 kes kematian iaitu sebanyak 0.70 peratus sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita. Manakala, sebanyak 4,856 (91.2 peratus) kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2021. Sekiranya dibandingkan daripada keseluruhan jumlah kematian yang dilaporkan oleh KKM pada tahun 2021, sebanyak 670 iaitu 13.8 peratus adalah berkaitan dengan kes BID.

Analisa juga mendapati terdapat kenaikan trend kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari bulan April dengan 35 kes sehingga bulan Jun 2021 iaitu 246 kes.

BID tertinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/710146/purata-empat-kematian-sehari-akibat-covid-19-di-kelantan

Trend BID itu dilihat semakin membimbangkan terutama selepas kemunculan varian baharu yang dilaporkan tidak mempunyai sebarang gejala. Kes tersebut biasanya dicatatkan sebagai kematian akibat Covid-19 hanya setelah kematian individu tersebut telah disahkan apabila proses bedah siasat dilakukan.

Tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi sepanjang enam bulan ini ialah Selangor, iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Kuala Lumpur 78 kes (11.6 peratus), dan Sabah 85 kes (12.7 peratus). Kebanyakan kes kematian BID ini melibatkan pesakit dari kumpulan usia 50 tahun sehingga 70 tahun, iaitu sebanyak 76.7 peratus dengan sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid (64.5 peratus).

Situasi yang menyebabkan kes kematian BID

Kredit gambar: https://selangorkini.my/2021/05/kkm-jelaskan-tiga-keadaan-kes-mati-bid-akibat-covid-19-makin-banyak/

Kegagalan pesakit menyedari diri mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak mengambil berat mengenai jangkitan wabak berkenaan berkemungkinan akan berakhir dengan kes BID. Terdapat tiga situasi yang membawa kepada kes BID:

  1. Pesakit tidak sedar sudah menghidap Covid-19 tetapi mempunyai gejala seperti batuk dan demam. Pesakit pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat tanpa melalui proses ujian saringan Covid-19. Beberapa hari kemudian, pesakit ditemui meninggal dunia di rumah.
  2. Pesakit didapati positif Covid-19 dan sudah dilaporkan oleh klinik swasta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun, pesakit ditemui meninggal dunia di rumah tanpa sempat untuk dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah (PKRC).
  3. Pesakit mula hilang deria rasa dan sangat letih. Bagaimanapun, dia tidak mengambil serius gejala tersebut dan hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian, pesakit ditemui meninggal dunia di rumah.

Kes BID juga menunjukkan peningkatan dalam kalangan golongan muda berusia 30 tahun ke bawah. Ini kerana, kebanyakan dari golongan berkenaan tidak menyedari mereka sudah dijangkiti Covid-19 kerana tidak bergejala sedangkan paras oksigen dalam badan semakin rendah berikutan kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik.

Keadaan ini dinamakan sebagai happy hypoxia iaitu pesakit Covid-19 tidak menunjukkan gejala sukar bernafas dan berasa normal walaupun tahap oksigen dalam badan berkurangan.

Langkah yang perlu diambil oleh orang awam

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/opinion/columnists/the-doctor-says/2020/12/08/what-your-covid-19-test-result-means

Menurut saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), orang ramai perlu lebih peka dalam memantau kesihatan kendiri terutamanya apabila disahkan positif Covid-19 dan berada dalam pemantauan di rumah. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko peningkatan kes BID:

  1. Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif;
  2. Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Covid-19 Assessment Centre (CAC);
  3. Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen; dan
  4. Segera laporkan sebarang warning signs dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.

Warning signs yang menunjukkan gejala Covid-19

Kredit gambar: https://www.the-scientist.com/news-opinion/the-unusual-symptoms-of-covid-19-67522

Warning signs merupakan gejala yang memberi petanda bahawa keadaan seseorang pesakit Covid-19 sebenarnya adalah teruk. Antara warning signs yang memerlukan rawatan segera adalah seperti berikut:

  1. Demam berpanjangan;
  2. Kesukaran bernafas;
  3. Sakit dada;
  4. Kurang selera makan dan minum;
  5. Kelesuan bertambah teruk;
  6. Perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan;
  7. Batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk;
  8. Kurang buang air kecil;
  9. Bibir atau jari menjadi kebiruan; dan
  10. Ketepuan oksigen pada kadar kurang daripada 95 peratus.