Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerbitkan Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan Malaysia bagi tahun 2020. Panduan ini merupakan hasil semakan semula Panduan Diet dan Piramid Makanan terbitan tahun 1999 dan tahun 2010. Bagi edisi tahun 2020 ini, ia diselaraskan selepas mengambil kira perubahan status dan corak pemakanan penduduk di negara ini.

Semakan semula itu turut mengambil kira peningkatan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan seperti obesiti, diabetes dan hipertensi serta saranan pengambilan nutrien terkini untuk rakyat Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan piramid makanan?

Kredit gambar: http://nutrition.moh.gov.my/piramid-makanan-malaysia-2020-mendidik-rakyat-mengambil-makanan-dengan-betul/

Piramid makanan merupakan satu panduan mudah bagi individu mempelbagaikan makanan harian mengikut jumlah sajian yang disarankan. Makanan seimbang mengandungi kombinasi pelbagai jenis makanan untuk memberi kita semua zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.

Sebenarnya, tiada satu pun makanan tunggal yang dapat membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Jadi, tubuh badan kita perlu kepada pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk memelihara kesihatan.

Piramid makanan mempunyai gabungan lima kumpulan makanan yang diletakkan pada empat aras. Selain daripada jenis kumpulan makanan, piramid makanan juga menyatakan jumlah sajian yang disarankan untuk diambil dalam sehari bagi setiap kumpulan makanan.

Bentuk piramid yang lebih besar di bahagian bawah dan semakin mengecil ke atas. Ia memberikan gambaran mudah kepada individu perlu mengambil makanan yang lebih banyak pada bahagian bawah piramid dan makan sedikit makanan-makanan pada aras paling atas piramid.

Perubahan penting di dalam Piramid Makanan Malaysia 2020

Kredit gambar: http://nutrition.moh.gov.my/

Terdapat beberapa perubahan yang ketara di dalam piramid makanan terbaru ini iaitu:

1 – Sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan sumber utama yang paling banyak diperlukan oleh tubuh badan.

2 – Menekankan saranan pengambilan sumber karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti beras perang, roti bijirin penuh, oat dan jagung. Piramid Makanan Malaysia 2020 menyarankan julat peratus pengambilan karbohidrat yang lebih rendah iaitu 50-65peratus berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 iaitu 55-75 peratus.

3 – Minum air kosong sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari (sebelum ini tiada dinyatakan dalam Piramid Makanan Malaysia 2010).

4 – Cawan digunakan sebagai ukuran kepada satu unit sajian. Penggunaan cawan memberi gambaran yang lebih jelas agar orang ramai lebih mudah untuk memahami definisi unit sajian.

Unit sajian pula kemudiannya boleh dipindahkan ke dalam pinggan menggunakan teknik suku-suku-separuh.

Selain daripada impak kesihatan, piramid makanan juga merupakan rujukan dalam perancangan pengeluaran dan import makanan negara oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan sekuriti makanan dan pemakanan penduduk di negara kita.

Sumber: