Skuad ragbi England terus menerima tamparan hebat menjelang aksi ketiga Kejohanan Enam Negara menentang Ireland pada Ahad ini selepas terpaksa melupakan khidmat pemain loosehead prop berpengalaman, Mako Vunipola.

Menurut sumber The Guardian, Mako terpaksa bergegas pulang ke negara ibu bapanya, Tonga berikutan terdapat ahli keluarganya yang dikatakan mengalami sakit teruk.

Keadaan tersebut pasti memeningkan kepada jurulatih England, Eddie Jones selepas beliau turut kehilangan khidmat adik kepada Mako iaitu Billy Vunipola yang mengalami patah tulang bahu ketika beraksi bersama Saracens dalam saingan European Champions Cup.

Kehilangan Mako Vunipola amat dirasai Jones selepas pemain berusia 29 tahun itu sememangnya merupakan antara nadi kekuatan pasukan dan turut mempamerkan corak persembahan terbaik ketika berdepan lawan yang sama kira-kira setahun yang lalu di Dublin sekaligus menyaksikan England mencatatkan kemenangan 32-20.

Pada perlawanan itu, Mako Vunipola berjaya melakukan 27 ‘tackles’ serta mencipta 11 percubaan dalam merangka serangan ke kubu pihak lawan. Prestasi memberangsangkan itu telah mendapat pujian daripada Jones yang melabelkannya sebagai ‘berada di kelas yang tertinggi’.

Dengan ketiadaan Mako Vunipola, dua pemain yang dijangka akan menjadi pilihan untuk mengisi kekosongan tersebut adalah Joe Marler atau Ellis Genge. Joe Marler beraksi pada perlawanan pertama bertemu Perancis dan kemudiannya disisihkan selepas Mako kembali beraksi ketika menentang Scotland.

Manakala, Genge pula beraksi baik selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada kedua-dua perlawanan terbabit dan turut berjaya mendapatkan try pada perlawanan menentang Scotland.

Selepas mengharungi dua perlawanan, England menduduki tangga keempat apabila mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan. ‘Red Roses’ tumpas 17-24 di tangan Perancis manakala kembali meraih kemenangan selepas menundukkan Scotland dengan keputusan 13-6.

Kredit foto: Yahoo Sports