Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman selama tiga hari terhadap suami seorang YouTuber sensasi, bermula hari ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu, kini berdepan siasatan polis berhubung penderaan dan pemilikan bahan kakisan susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya dan petugas Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital (HRPB) Ipoh.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor terhadap lelaki berusia 29 tahun itu selepas membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan memiliki senjata berbahaya, mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Lelaki itu yang tiba di mahkamah pada 10 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu ditahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu yang turut berada di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi, kelihatan gelisah dan tidak selesa ketika menyaksikan suaminya dibawa polis dalam keadaan digari dan berpakaian lokap.

Ketika dihampiri media di perkarangan mahkamah, wanita itu enggan memberi sebarang kenyataan, sebaliknya masuk menunggu di dalam sebuah kereta dipandu seorang wanita yang juga saudaranya.

Difahamkan, dalam kejadian di luar wad bersalin HRPB pada 5.54 petang semalam, anggota polis yang bertugas di pondok hospital itu menerima panggilan daripada jururawat menyatakan suspek dalam keadaan mabuk datang membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga.

Berdasarkan maklumat diterima media, kejadian bermula di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 10 malam kelmarin, apabila berlaku perselisihan di antara lelaki berkenaan dengan isterinya.

Lelaki terbabit dikatakan berang kerana namanya tidak disebut oleh isterinya pada satu majlis anugerah di Ipoh baru-baru ini.

Perselisihan itu berlanjutan hingga semalam apabila lelaki terbabit yang berada dalam keadaan mabuk, bertindak memukul mangsa sebelum pergi ke HRPB untuk mencari adik iparnya sambil membawa sabit.

Kejadian itu disedari jururawat sebelum menghubungi bantuan anggota pondok polis hospital menyebabkan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata selain mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kes akan turut disiasat menurut Seksyen 326A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan  kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Seorang saudara lelakinya yang juga bertindak sebagai pengurus kepada Youtuber itu, memberitahu pasangan terbabit perlu diberi masa untuk berehat dan menyelesaikan masalah peribadi dihadapi mereka.

“Mereka juga mungkin tidak akan muncul dalam sebarang program dalam tempoh beberapa minggu ini,” katanya yang memohon namanya tidak disiarkan ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Majistret Ipoh.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: