Hanya tinggal lapan hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa. Ini merupakan Ramadan kedua yang kita lalui di dalam suasana pandemik, cuma bezanya pada kali ini bazar Ramadan dan solat terawih berjemaah adalah dibenarkan.

Kurma sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Ini kerana banyak hadis yang menyebut tentang disunnahkan bersahur dan berbuka puasa dengan kurma. Antara hadis yang menyebut tentang sahur dan berbuka puasa dengan kurma adalah “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis, Sunan Abu Daud 2338).

Kurma bukan sahaja enak tetapi kaya dengan nutrisi yang baik untuk tubuh badan kita, malah ia mengandungi lebih banyak kalori dan karbohidrat.

Rasulullah SAW sangat suka makan kurma. Aisyah RA berkata pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan, tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah. Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih Muslim, 5078).

Disebabkan itu, apabila tiba bulan Ramadan banyak pasaraya tempatan mengimport dan menjual kurma di pasaraya mereka dengan pelbagai jenis dan jenama. Ayuh kita tinjau beberapa jenis kurma yang popular di Malaysia.

1 – Kurma Ajwa

Kredit gambar: https://istafa.com.my/kurma-ajwa/

Kurma Ajwa merupakan sejenis buah kurma yang ditanam di Madinah. Kurma ini merupakan kurma kesukaan Rasulullah SAW dan paling digemari oleh umat Islam di seluruh dunia.

Ciri-ciri kurma ajwa yang asli adalah warnanya yang hitam pekat dan terdapat beberapa garis kecil. Kurma ini biasanya tidak terlalu manis, mempunyai saiz yang kecil dan memiliki tekstur isi yang lembut dengan rasa buah yang segar.

Harga kurma Ajwa adalah di antara RM45 hingga RM150 untuk sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti kurma tersebut.

2 – Kurma Medjool

Kredit gambar: https://www.amazon.com/Organic-Medjool-Dates-2-Pounds/dp/B015PWVRPO


Kurma Medjool adalah buah kurma yang paling mahal kerana dikatakan ia sukar untuk ditanam. Sering kali dinobatkan sebagai raja kurma, Medjool mempunyai isi yang besar, kulit yang berwarna kuning gelap hingga ke merah-coklat, tekstur berserat dan rasa yang sangat manis. Rasa manis pada kurma ini selalu dibandingkan dengan rasa karamel, maka ia merupakan pilihan utama kepada pembuat susu kurma premium.

Kurma Medjool adalah alternatif yang lebih sihat untuk pencuci mulut dengan kalori tinggi kerana ia kaya dengan mineral penting dengan hanya kira-kira 66 kalori dalam setiap kurma. Kurma ini juga kelihatan segar walaupun setelah ia kering.

Kurma Medjool dikatakan berasal dari wilayah Tafilalt di Moroko dan kini banyak ditanam di beberapa buah negara seperti Palestin, Israel, Iran, Arab Saudi dan juga Jordan. Di luar jazirah Arab, Medjool berjaya ditanam di Afrika Selatan dan juga di Amerika Syarikat.

Harga pasaran bagi kurma Medjool adalah di antara RM90 hingga RM500 untuk sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti kurma tersebut.

3 – Kurma Safawi

Kredit gambar: https://muslimahclothing.com/product/kurma-premium-safawi/


Kurma Safawi terkenal di Mekah dan juga di Madinah. Berwarna coklat gelap, rasanya amat mirip dengan rasa kurma Ajwa, isi buahnya lembab dan mempunyai tekstur yang lembut.

Pokok kurma Safawi amat mudah berbuah sepanjang tahun yang menyebabkan ia mudah didapati dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding kurma Ajwa.

Harga pasaran bagi kurma Safawi di Malaysia adalah di antara RM35 hingga RM50 untuk sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti kurma tersebut.

4 – Kurma Deglet Noor

Kredit gambar: http://www.thehouseofdates.com/site/offer/processed-dates/

Kurma Deglet Noor adalah salah satu daripada pelbagai jenis kurma. Kerap kali dirujuk sebagai ‘ratu kurma’, buah kurma Deglet Noor biasanya dijual dalam bentuk bertangkai. Ia juga menjadi antara buah kurma yang paling diminati di Malaysia.

Kurma ini berasal dari Algeria. Ia juga ditanam di banyak kawasan di sekitar Arab Saudi, Tunisia, Amerika Syarikat dan juga di Iran.

Kurma Deglet Noor dari Algeria mempunyai tekstur yang sangat lembut, berwarna perang dan rasanya seakan-akan madu. Ini merupakan ciri yang membezakan ratu kurma ini dengan kurma-kurma yang lain.

Harga pasaran bagi kurma Deglet Noor di Malaysia adalah di antara RM21 hingga RM35 untuk sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti kurma tersebut.

5 – Kurma Mariami

Kredit gambar: https://mehrdates.blogspot.com/2012/03/kurma-mariami-kl-malaysia-pengedar.html

Kurma ini juga dikenali dengan nama kurma Piarom atau kurma coklat. Kurma Mariami biasanya lebih panjang, tidak terlalu besar, berbentuk bujur, dengan kulit nipis dan berwarna coklat yang hampir hitam.

Kurma ini banyak ditanam di Iran. Untuk kurma dalam kategori separa kering, Mariami dianggap antara kurma yang terbaik. Harganya juga sangat murah dan mudah didapati.

Harga pasaran bagi kurma Mariami di Malaysia adalah di antara RM25 hingga RM44 untuk sekilogram, bergantung kepada gred dan kualiti kurma tersebut.

Secara umumnya, kurma memberikan banyak manfaat kesihatan kepada kita. Kurma sepatutnya bukanlah makanan bermusim yang diambil ketika bersahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan. Kandungan nutrien kurma bergantung kepada jenis kurma dan tahap kematangannya.

Sebagai pengguna yang bijak, pengambilan kurma dalam diet seharian perlulah dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan dapat diperolehi dengan optimum.

Sumber: