Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1939 dan berlarutan sehingga tahun 1945. Perang ini bukan hanya melibatkan negara-negara di Eropah sahaja malah melibatkan negara di Asia dan Kepulauan Pasifik.

Watak utama bagi perang ini melibatkan dua kuasa utama iaitu Kuasa Berikat dan Kuasa Paksi. Perang Dunia Kedua merupakan lanjutan daripada Perang Dunia Pertama.

Kekalahan Jerman di dalam Perang Dunia Pertama yang menyebabkan mereka dipaksa menandatangani Perjanjian Versailles. Di bawah pimpinan Adolf Hitler, Jerman menganggap perjanjian tersebut sebagai berat sebelah dan merupakan satu penghinaan terhadap mereka.

Tindak tanduk Jerman kemudiannya mula melanggar perjanjian tersebut. Adolf Hitler menubuhkan semula pasukan tentera udara, melaksanakan kerahan tenaga tentera dan menyerang Poland. Tindakannya menyerang Poland akhirnya mendorong Perancis dan UK mengisytiharkan perang terhadap Jerman.

Ketika berlakunya Perang Dunia Kedua juga, ciptaan teknologi banyak memainkan peranan yang penting. Salah satu ciptaan tersebut ialah walkie-talkie. Ini kisah alat telekomunikasi tersebut dan evolusinya.

SCR-300, walkie talkie pertama

Kredit gambar: WHN

Menurut Kamus Dewan, walkie talkie merupakan sejenis alat komunikasi kecil. Ia bersifat mudah alih yang membolehkan dua pihak atau lebih berkomunikasi secara langsung, biasanya pada jarak yang dekat.

Namun begitu, rupa bentuk walkie talkie pada hari ini lebih merujuk kepada handy talkie. Ini kerana ciptaan asal Galvin Manufacturing Company pada tahun 1940 sebenarnya jauh lebih kompleks.

Pencipta asal walkie talkie ialah Donald Hings, seorang rakyat British yang tinggal di Canada. Radio ciptaannya digelar packset. Bagi ciptaan SCR-300 pula, Henryk Magnuski merupakan jurutera telekomunikasi yang bertanggungjawab menciptanya.

Ketika bahang Perang Dunia Kedua dilihat semakin dekat, Jabatan Perang Amerika Syarikat mula menempah SCR-300. Sebanyak 50,000 buah walkie talkie ini ditempah dari Galvin Manufacturing Company.

SCR-300 dicipta berupa sebuah beg seberat 14-17kg. Ia dilengkapi dengan antena setinggi 84cm sehingga 325cm. Walkie talkie ini membolehkan tentera berhubung sesama infantri sejauh 4.8km. Menurut buku manual asalnya, ia merupakan alat telekomunikasi khusus bagi kegunaan askar pejalan kaki. Itulah sebabnya ia dipanggil sebagai walkie talkie dan bukannya handy talkie.

Pada tahun 1947, Galvin Manufacturing Company menjenamakan syarikat mereka sebagai Motorola.

Walkie talkie, evolusi dan undang-undang

Kredit gambar: Hi Consumption

Kecanggihan teknologi dan kepantasan ciptaan telekomunikasi berevolusi tidak sesekali meninggalkan walkie talkie. Pada hari ini, walkie talkie lebih mudah didapati dan dijual secara terbuka di pasaran. Selain tradisinya iaitu analog, walkite talkie juga kini tersedia dalam bentuk digital. 

Tidak seperti beberapa negara yang menghadkan penggunaan walkie talkie, Malaysia lebih terbuka. Namun begitu, terdapat undang-undang bagi pendaftarannya sebelum dijual. Ini selaras dengan
Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Negara seperti Thailand dan Singapura menghadkan penggunaan walkie talkie. Tanpa isytihar, membawa masuk walkie talkie ke negara tersebut adalah satu kesalahan. Frekuensi citizen band yang dibenarkan untuk kegunaan awam di Thailand ialah pada 245 MHz. Singapura, ianya 446 MHz dan di Malaysia, Australia dan New Zealand, ianya pada frekuensi 477 MHz.

Kerana penggunaannya sinonim dengan penjenayah, Thailand menghadkan orang awam dengan walkie berwarna merah.