Kalau anda ada USD2 juta (RM8.72 juta) yang tak tahu nak buat apa, anda mungkin takkan beli SUV yang menggunakan casis Ford F-550 dan berkelajuan maksimum 140 km/j sebagai kereta anda. Tetapi Karlmann King barangkali akan mengubah fikiran anda.

Syarikat pembuat SUV ini merupakan syarikat Itali, beribu pejabat di Los Angeles dan ditaja oleh firma automotif dari Beijing iaitu International Automotive Technologies.

Keunikan Karlmann King bukan terletak kepada kelajuannya. Sebaliknya ia terletak kepada cirinya yang berperisai, mempunyai ruang lounge lengkap dengan kerusi sandar, mesin pembuat kopi, gelas champagne dan TV besar.

Yang membuatkan ‘raja SUV’ ini lebih menarik kepada jutawan adalah fleksibilitinya. Pembeli boleh mengubah-ubah King mengikut keperluan (dan kedalaman poket) masing-masing. Antaranya kerusi kulit Alligator, kemasan emas dan upholsteri istimewa.

Pengarah jualan Raja SUV ini, Michael Nothdurft, memberitahu media seorang klien mereka di Afrika pernah menempah SUV khas dengan ciri-ciri tambahan tersebut pada harga USD3.5 juta (RM15.3 juta).

Beliau turut memberitahu setiap pembeli perlu menunggu sembilan hingga 15 bulan sebelum kereta diserahkan.

Tetapi ciri paling menarik yang menarik pembeli Karlmann King adalah perisainya. Perisai SUV ini kalis segala jenis peluru pernah dikenali dalam sejarah senjata peradaban manusia.

Pembeli SUV ini biasanya datang dari kawasan bergolak seperti di Timur Tengah dan Africa, bekerja sebagai mogul hartanah sehinggalah pedagang jam bernilai tinggi di Amerika Syarikat.

SUV ini nyata satu hasil kerja seni dalam industri automotif. Rupanya sangat berlainan daripada SUV yang biasa kita pernah lihat. Ia mempunyai bentuk yang bersegi dan saiznya sangat besar.

“Kereta ini sangat berpolarisasi. Sama ada orang betul-betul suka atau betul-betul tak suka,” kata Nothdurft.

Casisnya diperbuat dari casis sama yang digunakan oleh Ford F-550. Untuk pengetahuan anda, Ford F-550 merupakan trak besar yang mempunyai rangka yang tahan lama, tahan lasak dan mampu menampung berat yang banyak – sebab mengapa casis ini digunakan dalam King.

King menggunakan enjin V10 berkapasiti 6.8 liter dan menggunakan suspensi dan transmisi Ford F-550. Oleh sebab itulah kelajuan maksimumnya hanya 140km/j.

Tetapi kereta ini tiada keperluan untuk jadi laju memandangkan perisainya ia tidak boleh ditembusi mana-mana peluru dan ruang dalamannya pula umpama ruang tamu rumah mewah.

King setakat ini dibuat dengan tangan di Itali. Tetapi Nothdurft memberitahu syarikatnya merancang untuk membina kilang sama di Amerika Syarikat pula pada masa akan datang. Setakat 2019, sudah terdapat 20 tempahan berjaya diterima di Amerika Syarikat sahaja.

Dianggarkan terdapat kurang 100 unit Raja SUV ini di seluruh dunia, menjadikannya salah satu kereta paling jarang ditemui di dunia.

Baca juga artikel kami lain mengenai industri automotif:

Sumber: