Nasi merupakan makanan ruji bagi kebanyakan penduduk di negara Asia, termasuklah negara kita. Kebergantungan rakyat terhadap beras sebagai makanan harian masih berterusan sehingga hari ini. Nasi merupakan sumber karbohidrat yang paling utama.

Secara purata, analisis trend penggunaan beras per kapita di Malaysia sentiasa meningkat saban tahun. Sebanyak 93kg beras diperlukan bagi setiap rakyat Malaysia sepanjang tahun 2008 hingga 2012.

Adalah menjadi kebiasaan apabila nasi dimakan sebanyak dua hingga tiga kali sehari. Maka, jumlah beras yang digunakan secara purata ini tidaklah menghairankan.

Menurut laporan U.S Department of Agriculture (USDA), peningkatan yang dicatatkan sejak tahun 2008 ini berpunca dari dua perkara. Pertama adalah disebabkan oleh kebanjiran imigran asing yang bekerja di dalam negara. Kehadiran pelancong asing yang datang melawat ke negara ini juga menjadi faktor peningkatan tersebut.

Sehingga hari ini, kerajaan mengguna pakai dasar 70:30 bagi memenuhi keperluan beras di dalam negara. Daripada jumlah tersebut, penghasilan 70 peratus adalah beras tempatan dan baki sebanyak 30 peratus lagi diambil dari beras import. Beras import paling popular adalah dari negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

Di Semenanjung Malaysia, sistem penanaman padi sawah digunakan secara meluas. Manakala sistem padi huma pula banyak digunakan di beberapa kawasan di Wilayah Sabah dan Sarawak.

Kalendar penuaian padi sawah

Kredit gambar: Berita Harian

Tahukah anda, kalendar penuaian padi sawah di seluruh negara adalah berbeza-beza mengikut negeri? Ini kerana, penuaian padi sawah ini amat bergantung kepada keadaan cuaca dan peredaran angin monsun yang berbeza.

Selain itu juga, adalah penting bagi penuaian padi ini berlangsung secara berterusan. Ini secara tidak langsung dapat menjamin ketercukupan 70 peratus beras bagi penggunaan tempatan. Berikut merupakan jangkamasa penuaian padi mengikut kalendar setahun yang dikelolakan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Perak (Musim 1): April sehingga Julai
Perak (Musim 2): Oktober sehingga Februari

Kelantan dan Terengganu (Musim 1): Februari sehingga Jun
Kelantan dan Terengganu (Musim 2): Ogos sehingga Disember

Pahang (Musim 1): Januari sehingga Jun
Pahang (Musim 2): September sehingga Disember

Selangor (Musim 1): April sehingga Julai
Selangor (Musim 2): Oktober sehingga Februari

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang (Musim 1): Januari sehingga April
Perlis, Kedah dan Pulau Pinang (Musim 2): Julai sehingga Oktober

Penuaian ini menghasilkan pelbagai jenis keluaran beras. Keluaran yang paling popular tentunya beras putih tempatan.

Beras putih tempatan

Kredit gambar: Fimela

Tanaman padi sawah di Semenanjung Malaysia menghasilkan keluaran beras putih tempatan. Beras ini terdapat dalam beberapa jenis dan dinyatakan dalam kod seperti MR 211, MR 219, MR 220 dan MR 232.

Pengkelasan beras ini biasanya dibezakan mengikut saiz. Beras tempatan biasanya bersaiz sederhana panjang dan berwarna putih. Panjangnya sekitar 7.00 mm dengan lebar 3.0 mm.

Beras ini lebih lembut tetapi padat selepas dimasak tanpa sebarang bau. Penggunaan beras jenis ini amat bersesuaian dengan semua jenis masakan.

Kandungan beras ini amat tinggi dengan mineral dan vitamin seperti zat besi, fosforus dan asid folik. Tambahan pula, beras tempatan juga mempunyai sumber kalori yang tinggi.