Seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat dinikmati pada ketika ini, permainan-permainan tradisional yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia terutamanya bagi kanak-kanak kini semakin pupus ditelan arus zaman.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 1990-an, pastinya ia akan mengimbau nostalgia ketika bermain permainan-permainan tersebut. Berbeza dengan trend terkini, permainan tradisional memerlukan pergerakan sekaligus mampu menjadi aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.

1. Tuju Selipar

Kredit foto: When Khairah Writes

Permainan yang memerlukan kawasan lapang ini benar-benar menguji kecergasan dan kecekapan. Selepas satu-satu pasukan berjaya menjatuhkan himpunan tiga selipar tersebut mengikut jarak yang ditetapkan, mereka perlu mengelakkan dari diserang menggunakan selipar oleh pasukan bertahan sekaligus misi seterusnya adalah untuk membina semula ‘piramid’ selipar itu.

Sekiranya kesemua ahli pasukan menyerang berjaya ‘dimatikan’, pasukan bertahan pula akan mengambil giliran untuk mencuba. Memang berpeluh teruk bila bermain tuju selipar ini.

2. Congkak

Kredit foto: AKAR Education

Congkak juga merupakan antara permainan tradisional yang begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia pada satu ketika dahulu. Hanya memerlukan papan congkak dan buah congkak yang kebiasaannya menggunakan guli, permainan ini memerlukan daya pemikiran yang baik bagi seseorang untuk menewaskan lawannya.

Ingat, jangan bagi banyak sangat rumah ‘terbakar’. Kalau banyak sangat rumah terbakar susah nak menang!

3. Gasing

Kredit foto: Kiliknotes.blogspot

Gasing kebiasaannya dimainkan oleh kaum lelaki. Gasing turut memiliki pelbagai jenis dan antaranya ialah gasing botol, gasing jantung, gasing leper, gasing jantung dan banyak lagi. Antara kepuasan yang dapat dinikmati ketika bermain gasing adalah ketika memangkah gasing orang lain.

Kalau main gasing kayu, memang ‘happy’ dan satu kebanggaan dapat pecahkan gasing kawan kita.

4. Batu Seremban

Kredit foto: mawardiyunus.com

Batu seremban (bukan ejaan Seremban di Negeri Sembilan) juga seperti tuju selipar di mana tidak memerlukan modal untuk bermain permainan ini. Hanya berbekalkan tujuh biji batu dan kawasan yang tidak terlalu luas, ia sudah boleh dimainkan. Tetapi pastikan anda mencari batu kecil yang sesuai.

Berbeza dengan gasing, permainan ini pula popular dalam kalangan kaum perempuan dan mereka ternyata pakar bermain batu seremban. 100 peratus fokus amat diperlukan untuk bermain permainan tradisional ini.

5. Teng-Teng

Permainan ini turut dikenali sebagai ketinting dan sewaktu kecil, penulis menggelarkan permainan ini sebagai ‘jengket’ kerana para pemain perlu dimainkan dengan sebelah kaki (berjengket). Permainan yang tidak terlalu lasak ini membuatkan ia turut popular dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Bagi anak-anak kampung, permainan ini hanya dimainkan di kawasan tanah yang membolehkan gelanggang hanya dilukis di atas tanah sahaja. Di kawasan simen pula memerlukan kapur tulis untuk lakaran gelanggang.

Bila dikenangkan kembali, permainan ini teng-teng ini seolah-olah berperanan sebagai latihan ‘footwork’ dan ‘balancing’ buat para atlet pada masa kini.

Kredit featured image: Selangorkini