Pos Malaysia Bhd mencatatkan rugi bersih berjumlah RM49.2 juta untuk suku pertama 2020 yang berakhir 31 Mac lepas. Bagaimanapun jumlah tersebut berkurangan jika dibandingkan dengan kerugian RM141.13 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan medianya, Pos Malaysia turut mengumumkan pendapatan kumpulannya menguncup 6.1% daripada RM594.68 juta kepada RM558.53 juta.

Dalam suku yang rugi ini – suku ketujuh yang rugi berturut-turut – Pos Malaysia telah megurangkan kos operasi dan jualannya daripada RM650.12 (suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Disember 2019) kepada RM573.74 juta.

Tiga teras operasi Pos Malaysia – pos, logistik dan penerbangan – kekal mencatatkan kerugian sebelum cukai.

Sebelum ini Pos Malaysia melaporkan sedang merasionalisasi jaringan pejabat posnya, menarik pelaburan daripada perniagaan bukan teras dan menggunakan skim pembayaran berbeza – yang kini sedang berada dalam fasa percubaan – untuk barisan penghantarannya.

Menurut Pos Malaysia, perniagaan mel antarabangsa kekal menjadi punca mengapa segmen posnya kekal rugi. Segmen logistik pula rugi disebabkan oleh perniagaan pengangkutan. Manakala kerugian segmen penerbangan pula disebabkan oleh servis penyeliaan dan kejuruteraan kapal terbangnya.

Satu-satunya keuntungan Pos Malaysia dicatat oleh segmen sampingannya iaitu percetakan, sijil digital dan Ar Rahnu.

Perkhidmatan pos – yang kini menggabungkan segmen mel dengan kurier – dilaporkan stabil dan menyumbang 69.99% pendapatan keseluruhan kumpulan. Pos Malaysia menjelaskan perkara ini disebabkan oleh kenaikan kadar pos baru yang berkuatkuasa pada Februari 2020.

Segmen kurier pula menyaksikan peningkatan jumlah hantaran sebanyak 6.7% tahun-ke-tahun susulan peningkatan penghantaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pos Malaysia mengumumkan jumlah purata barang yang dihantar ke servis kurier mereka adalah 590,000 sehari – meningkat 69% berbanding Mac dan 66% berbanding Februari.

“Kami menjangkakan trend penghantaran online ini akan terus bertambah apabila pelanggan menjadikan pembelian dalam talian sebagai kebiasaan baharu,” menurut kenyataan rasmi Pos Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Syed Md Najib Syed Md Noor berkata transformasi Pos Malaysia yang sedang dilaksanakan, terus menunjukkan kemajuan dengan segmen pos mencapai keuntungan kasar lebih baik apabila syarikat mula merealisasikan manfaat daripada penambahbaikan operasi, kecekapan kos dan inisiatif perniagaannya.

“Servis e-dagang telah dan akan terus memacu segmen kurier. Penghantaran adalah elemen utama dalam perjalanan pelanggan e-dagang, dan kami yakin automasi pusat penyusunan bungkusan dan usaha pendigitalan kami dalam menggunakan sistem kesan dan jejak yang baharu akan memberikan kami kelebihan daya saing dan meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: