Pada awal pagi ini, kita dikejutkan pula dengan satu insiden kren tumbang di Persiaran Banyan, Jalan Alam Damai, Kuala Lumpur. Struktur kren tersebut dilaporkan telah tumbang lalu menghempap sebuah kenderaan di tapak pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Ayuh kita soroti insiden demi insiden yang telah berlaku membabitkan tapak pembinaan projek ini.

Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE)

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2021/02/676297/lebuhraya-suke-87-peratus-siap

Projek lebuhraya bertingkat ini dibina sepanjang 24.4km, bermula dari Sri Petaling ke Ulu Kelang. Terdapat 14 susur keluar daripada lebuhraya ini iaitu bermula dari Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan berakhir di Bukit Antarabangsa.

Apabila siap sepenuhnya kelak, SUKE dijangka mampu mengurangkan kesesakan trafik sebanyak 30 peratus dari MRR2 serta 36 peratus dari Jalan Ampang. Projek ini telahpun mencatat kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 88.01 peratus setakat Januari 2021.

Insiden pertama: Kren tumbang pada 26 Februari 2018

Kredit gambar: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tanah-tidak-stabil-punca-kren-tumbang-suke-169076

Sebuah kren tumbang di tapak pembinaan jalan berhampiran MRR2 kira-kira jam 9 pagi ini. Kren tersebut dilaporkan sedang mengangkat struktur besi bersebelahan MRR2 (arah Ampang) telah hilang imbangan lalu jatuh merentangi laluan utama MRR2.

Kejadian ini dilaporkan berpunca dari struktur permukaan tanah yang menempatkan jentera tersebut yang tidak stabil. Seorang mangsa yang berusia 40-an dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan menerima rawatan di Hospital Ampang.

Kejadian tersebut telah menyebabkan kesesakan sejauh empat hingga enam kilometer berlaku dari arah Hulu Klang ke Ampang.

Insiden kedua: Struktur konkrit terjatuh pada 8 Mac 2019

Kredit gambar: https://www.mysuke.com.my/taman-kosas-6/

Struktur rasuk konkrit (concreate beam) terjatuh dari tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dekat persimpangan Taman Kosas, Jalan Ampang. Dua orang pekerja di tapak pembinaan tersebut juga dilaporkan cedera selepas struktur rasuk konkrit terjatuh.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.00 pagi dan tiada kesesakan trafik yang berlaku pada pagi Jumaat tersebut.

Insiden ketiga: Dinding konkrit terjatuh pada 19 September 2020

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/733286/jkkp-siasat-tiga-aspek-insiden-tembok-jatuh

Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan yang dinaikinya dihempap kepingan dinding konkrit parapet di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan patah pada tangan dan tulang selangka dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

Insiden keempat: Lori merempuh tiang projek SUKE pada 3 Mac 2021

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/03/793962/reman-pemandu-treler-akan-disambung

Satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori treler yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE pada 5.58 petang 3 Mac 2021. Insiden ini dilaporkan telah menyebabkan kesesakan teruk di MRR2 dikedua-dua arah sehingga Sri Petaling dan Bulatan Bilion.

Dua wanita maut, manakala tiga lagi termasuk pemandu van kilang terselamat selepas kenderaan itu dihempap runtuhan struktur tapak pembinaan. Pemandu lori treler berusia 40-an itu pula yang didapati positif dadah dan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Insiden kelima: Kereta merempuh tiang projek SUKE pada 17 Mac 2021

Kredit gambar: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur

Seorang lelaki maut dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di Bandar Tun Razak menghala Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Kereta Proton Persona yang dipandu oleh mangsa dilaporkan telah hilang kawalan di lorong kanan dan bergesel dengan kereta jenis Perodua Viva.

Kemudiannya, kereta mangsa melanggar tiang projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sebelum terbakar.

Insiden keenam: Kren terjatuh di tapak projek SUKE pada 22 Mac 2021

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/799009/enam-mangsa-semuanya-bomba

Lima orang pekerja asing dan seorang warga tempatan terbabit dalam kejadian komponen kren terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Jalan Alam Damai, awal pagi ini.

Dua orang pekerja tersebut dilaporkan maut apabila terjauh dari ketinggian 40 meter, seorang lagi maut kerana tersepit pada struktur besi, manakala dua orang pekerja lagi terselamat.

Pemandu kereta yang ditimpa kren itu cedera pada leher dan sudah dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Sumber: