Seorang pengurus kilang berusia 52 tahun di Ipoh nekad merempuh masuk dan membaling botol petrol ke dalam kilang tempatnya bekerja sebelum maut dipercayai membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata hasil siasatan awal mendapati kereta Honda Civic yang dipandu suspek telah menceroboh masuk ke kawasan kilang tanpa kebenaran dan merempuh masuk ke dalam bilik ‘Production Labelling Department’ sehingga mengakibatkan kebakaran.

Tambahnya, ketika suspek cuba melarikan diri dari tempat kejadian, saksi menyatakan suspek seolah-olah sengaja melintas jalan sebelum dilanggar sebuah lori dan maut di tempat kejadian.

Suspek difahamkan tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan selepas dirinya digantung kerja sejak September lalu. Malah, suspek juga sempat merakam video mengenai kekecewaannya sebelum kejadian amuk tersebut berlaku.

Dalam video berdurasi 14 minit itu, suspek turut meluahkan perasaan puas hati apabila pihak pengurusan memberhentikan beberapa pekerja Melayu dan India, dan mengambil pekerja baru dari bangsa Cina. Suspek turut mengatakan dirinya dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pihak syarikat.

https://twitter.com/mokudesuka/status/1324520479516893185?s=21

Suspek pernah meluahkan perasaan dan memberitahu dirinya tertekan sehingga perlu makan ubat disebabkan pihak kilang yang memberhentikannya tanpa notis. Pihak kilang turut sedang menyiasat suspek yang didakwa mengugut pihak atasan kilang kerana menggantung kerja suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 427/448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: