Badan Polis Antarabangsa (INTERPOL) akan membantu lima negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam untuk menyiasat aktiviti berkaitan pengganas biologi menerusi web gelap ataupun Darknet.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Penyelaras Unit Pencegahan Keganasan Biologi INTERPOL, Adrien Sivignon semasa membincangkan isu mengenai penggunaan secara jenayah teknologi baharu web gelap. Adrien adalah seorang daripada ahli panel pada Forum Keselamatan Siber ASEAN bersempena Persidangan dan Pameran Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2021 yang berlangsung secara maya. Persidangan tersebut dianjurkan oleh dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Project Pandora di Asia Tenggara akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun depan. INTERPOL bagaimanapun masih memerlukan sokongan berterusan daripada negara terbabit bagi menyiasat web gelap untuk mengekang sebarang aktiviti haram yang berlaku di web tersebut.

Apa itu web gelap?

Kredit gambar: https://www.welivesecurity.com/2017/08/18/cybercrime-arrests-darkmarket/

Web gelap atau dark web merupakan laman web yang tidak boleh ditemui dengan menggunakan pelayar web biasa seperti Safari, Google Chrome dan Internet Explorer. Ia juga sukar untuk diakses menggunakan Google.

Web gelap merupakan perumah kepada laman-laman web yang dihoskan tanpa pemilik yang jelas dan beroperasi dengan mengutamakan privasi. Ini kerana hampir separuh daripada transaksi yang dibuat dan disimpan di dalam web gelap adalah berkaitan dengan aktiviti haram seperti jual beli dadah dan juga pelbagai jenis senjata.

Kebiasaannya, pengguna web gelap mengakses laman web di dalamnya dengan menggunakan pelayar Tor, iaitu singkatan kepada The Onion Router.

Project Pandora INTERPOL untuk mengekang web gelap

Kredit gambar: https://www.interpol.int/Crimes/Cybercrime/Cybercrime-operations/ASEAN-Cybercrime-Operations-Desk

Unit Pencegahan Keganasan Biologi INTERPOL telah memperkenalkan Project Pandora bagi meningkatkan kemampuan polis dan penganalisis perisikan dalam menyiasat aktiviti berkaitan keganasan biologi menerusi web gelap. Ini berikutan peningkatan penggunaan laman web sedemikian untuk memperoleh, memindah atau menyeludup bahan atau senjata biologi yang kini menjadi kebimbangan utama komuniti penguat kuasa undang-undang di seluruh dunia.

INTERPOL mengakui terdapat ancaman dengan penggunaan bahan biologi oleh ‘non-state actor’ (pelaku bukan negara), penggunaan laman web sebagai platform untuk perdagangan haram bahan biologi serta peralatan dwiguna, selain menangani cabaran teknikal dalam menyiasat laman web tersebut.

Peranan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)

Kredit gambar: https://www.mkn.gov.my/web/ms/2020/07/29/kunjungan-hormat-tkpkn-keselamatan-strategik-mkn-ke-nacsa/

Ditubuhkan secara rasmi pada Februari 2017, Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) berperanan agensi utama peringkat nasional untuk mendepani masalah keselamatan siber dengan objektif untuk menyediakan dan memperkuat daya tahan Malaysia dalam menghadapi sebarang ancaman dalam bentuk serangan siber. Agensi ini memainkan peranan utama mereka dengan mengkoordinasi serta menyatukan pakar dan sumber yang terbaik di dalam negara dalam bidang keselamatan siber.

NACSA ​​juga mempunyai komitmen untuk mengembangkan dan menerapkan strategi keselamatan siber di peringkat nasional serta bertanggungjawab untuk melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (CNII). Bagi melaksanakan peranan tersebut, NASCA perlu mengambil langkah-langkah strategik dalam menangani ancaman siber, menerajui kesedaran keselamatan siber, mengembangkan kapasiti serta merumuskan pendekatan strategik bagi mendepani sebarang unsur jenayah siber.

Selain itu, agensi ini berperanan untuk memberi nasihat mengenai pengurusan risiko siber di kesemua organisasi, mengembangkan dan mengoptimumkan sumber yang dikongsi di antara agensi dan memupuk jaringan serantau dan global yang membina di antara entiti dengan kepentingan bersama dalam menerajui keselamatan siber.