Proklamasi Darurat yang sepatutnya akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos 2021 dijangka bakal disambung di negeri Sarawak sehingga 2 Februari 2022. Keputusan demikian adalah berdasarkan satu proklamasi baharu yang telah dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari Khamis, 29 Julai dan diterbitkan dalam warta kerajaan pada hari Jumaat, 30 Julai.

Penyambungan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini akan terlebih dahulu akan dibentangkan di Parlimen berdasarkan peruntukan Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Penangguhan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak

Kredit gambar: https://duns.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=photo_gallery&sub=photo_listing&menu_id=0&sub_id=83&alb=26#gallery-6

Menurut warta tersebut, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia menzahirkan rasa puas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

Titah Baginda lagi, Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut Baginda boleh mengeluarkan suatu proklamasi darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19. Proklamasi Darurat ini bagaimanapun akan berakhir pada 1 Ogos 2021. Proklamasi tersebut menyebabkan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijadual akan diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun 6 Jun lepas merupakan hari terakhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Tanpa penyambungan Proklamasi Darurat ini ke tarikh baharu 2 Februari 2022, negeri Sarawak sepatutnya perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam masa 60 hari selepas 2 Ogos 2021.

Kadar vaksinasi dan kes Covid-19 di Sarawak

Kredit gambar: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1972508

Setakat 30 Julai 2021, kadar vaksinasi di Sarawak telah mencapai 62.5 peratus bagi dua dos suntikan. Seramai 1,275,937 daripada populasi dewasa di negeri tersebut telah lengkap menerima vaksin mereka. Bagaimanapun jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk mencapai imuniti kelompok yang disasarkan iaitu 80 peratus.

Sebelum ini, program vaksinasi Covid-19 di Sarawak telah dipercepat untuk memastikan pilihan raya negeri (PRN) dapat diadakan dengan selamat sekiranya darurat ditamatkan pada 1 Ogos. Selain itu juga, terdapat pengundi yang tidak tinggal di Sarawak yang sudah pasti akan pulang pengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka. Maka, penangguhan PRN ini adalah cadangan yang tepat bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes Covid-19.

Sehingga semalam juga, Sarawak mencatatkan 450 kes baharu dengan jumlah kluster aktif di negeri tersebut meningkat kepada 84 kluster. Jumlah kes aktif di Sarawak pula kekal tinggi iaitu sebanyak 5,492 kes.