Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota menjelmakan pengkhabaran positif selepas beliau disahkan sudah kembali menyertai latihan bersama-sama rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Jepun, bermula hari ini.

Momota menjadi tumpuan dunia sebaik sahaja menjuarai Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Master 2020 apabila van yang membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX).

Peristiwa yang mungkin merupakan antara sejarah hitam dalam hidup Momota mengakibatkan beliau patah tulang hidung dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Perkembangan terkini itu sudah semestinya melegakan ketua jurulatih badminton Jepun, Park Joo Bong yang ketika ini sedang mempersiapkan para pemainnya menjelang saingan siri Super 1000 pertama iaitu All England..

Kento Momota bersama Viktor Axelsen pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Master 2020 di Kuala Lumpur. Kredit foto: BAM

“Saya sangat gembira dapat menyertai kem latihan untuk pasukan kebangsaan Jepun bermula pada 3 Februari seperti yang dijadualkan,” ujar Park Joo Bong bercakap kepada laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

”Kami akan melakukan yang terbaik ketika sesi latihan sambil memantau proses pemulihan Momota daripada kecederaannya. Kami kini dalam persiapan semasa untuk saingan All England 2020. Terima kasih kerana sokongan berterusan terhadap pasukan kebangsaan Jepun.”

Kento Momota merupakan juara bertahan bagi saingan All England selepas pemain berusia 25 tahun itu menumpaskan wakil Denmark, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir menerusi kemenangan ‘rubber set’, 21-11,15-21, 21-15

Kredit foto: BWF