Selepas gagal membuat onde-onde yang sedap sepertimana yang mereka rasa ketika melancong di Melaka, pasangan YouTuber Jepun bertindak meminta bantuan orang Malaysia untuk mengajar mereka cara membuat kuih tradisional itu.
YouTuber tersebut yang dikenali dengan nama ‘iChang‘ serta suaminya, Jimmy, meminta bantuan tersebut melalui video siaran langsung di YouTube dari rumah mereka di Hong Kong.
Dalam video tersebut, Jimmy dan iChang memberitahu cubaan mereka sebelum ini untuk memasak sendiri kuih onde-onde berdasarkan video YouTube gagal.
“Kuih onde-onde yang kami masak rasa pahit – tak manis macam yang kami rasa di Melaka. Kemudian gula Melaka dalam kuih itu juga tak cair. Apa yang kami buat tak betul?” soal Jimmy kepada penonton video mereka.
Berdasarkan video tersebut, kami di Rencah dapat mengesan beberapa kesilapan yang dibuat oleh pasangan Jepun itu. Antaranya:
1. Menggunakan terlalu banyak daun pandan
Daun pandan yang mereka gunakan terlalu banyak untuk makan dua orang sahaja. Biasanya 3-4 helai daun sahaja dah cukup untuk bagi kuih onde-onde ada bau dan rasa pandan sikit. Untuk menaikkan warna hijau doh tepung, biasanya kita akan gunakan sedikit pewarna hijau.
2. Menggunakan terlalu sedikit air ketika mengekstrak pati daun pandan
Bila air yang mereka gunakan untuk tapis ekstrak daun pandan terlalu sikit, pasangan Jepun ini perlu ekstrak lebih banyak daun untuk dapatkan kuantiti yang dimahukan. Ini membuatkan ekstrak mereka jadi terlalu pekat; sekaligus membuatkan rasa onde-onde mereka rasa pahit.
Warna doh mereka juga jadi hijau yang gelap – bukannya hijau cair seperti yang biasa kita lihat di kuih tradisional tersebut.
3. Memotong gula Melaka terlalu tebal
Apabila iChang memotong ketulan gula Melaka secara besar-besar, ia membuatkannya susah nak cair apabila dimasak. Sepatutnya gula Melaka itu dipotong secara kecil-kecil sebelum dimasukkan dalam doh tepung untuk dimasak.
4. Membuat saiz onde-onde terlalu besar
In juga punca mengapa gula Melaka dalam kuih onde-onde mereka tidak cair – doh tepung yang terlalu besar dan tebal. Apabila doh tepung tebal, ia akan mengambil masa yang lama untuk betul-betul masak.
Apabila Jimmy dan iChang merasa kuih onde-onde yang mereka buat sendiri, mereka memberitahu ia rasa ‘pahit dan langsung tak sama seperti kuih sama yang mereka rasa di Malaysia’. Jimmy pula memberitahu gula Melaka dalam kuih mereka langsung tidak cair!
Anda boleh lihat cubaan mereka membuat sendiri kuih onde-onde dalam video di bawah:
Susulan kegagalan mereka itu, Jimmy dan iChang membuat siaran langsung untuk memperbetulkan teknik-teknik pembuatan kuih onde-onde mereka.
Penonton video mereka memberitahu beberapa tips berikut:
1. Parut kelapa kering yang mereka beli perlu distim terlebih dahulu dengan sedikit garam. Sebelum ini, pasangan Jepun itu terus membalut kuih mereka dengan parut kelapa kering tanpa memanaskannya terlebih dahulu.
3. Gunakan hanya 5-7 daun pandan.
2. Tambah air semasa mengekstrak pati daun pandan.
4. Potong gula Melaka kecil-kecil.
5. Gunakan sedikit sahaja air ekstrak pandan untuk dicampurkan dalam doh tepung.
6. Leperkan dan nipiskan doh sebelum letak gula Melaka.
Selepas membuat kuih onde-onde, penonton video mereka turut mengajar pasangan Jepun ini membuat kuih badak berendam.
Untuk mengetahui apa reaksi mereka kali pertama merasai kuih badak berendam, anda boleh lihat video mereka di bawah:
Melihat minat pasangan Jepun ini untuk mempelajari sendiri cara membuat kuih tradisional, bermakna warisan budaya makanan kita sebenarnya mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa.
Siapa sangka fenomena bubble tea yang melanda dunia dan Malaysia pada tahun lepas boleh dialami oleh kuih onde-onde dan badak berendam juga pada masa akan datang?
Apa yang kita perlu buat adalah terus mempromosikan makanan Malaysia!