Seekor harimau dari spesis Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) di Zoo Bronx, New York telah diuji positif COVID-19, menjadikannya kes pertama jangkitan dari manusia ke haiwan.

Reuters melaporkan berita tersebut selepas mendapat pengesahan daripada Paul Calle, Ketua Doktor Veterinar Zoo Bronx pada Ahad, 5 April 2020.

Harimau Malaya tersebut yang diberi nama Nadia, berusia empat tahun dan diuji positif COVID-19 selepas mengalami batuk kering bersama tiga harimau dan tiga singa yang lain. Wildlife Conservation Society yang mengurus Zoo Bronx bagaimanapun menjamin semua binatang tersebut dijangka akan sembuh.

Virus COVID-19 yang dipercayai merebak dari haiwan ke manusia, telah menjangkiti beberapa haiwan lain iaitu anjing di Hong Kong.

Pakar veterinar bagaimanapun berpendapat kes Nadia ini lebih unik kerana harimau tersebut menjadi sakit selepas bersentuhan dengan seorang pekerja zoo yang asymptomatic (positif tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom).

Calle memberitahu pihaknya masih tak tahu identiti pekerja zoo yang menjangkiti Nadia.

“Ini kali pertama pihak kami kenalpasti kes manusia menjangkiti haiwan dan haiwan jadi sakit. Kes di Hong Kong menunjukkan anjing yang dijangkiti positif, tetapi tidak sakit.

“Kami sedang memerhatikan keadaan Nadia secara teliti dan akan berkongsi penemuan kami dengan zoo dan institusi lain. Harap-harapnya kita dapat memahami impak virus ini dengan lebih terperinci.”

Walaupun harimau dan singa lain menunjukkan simptom batuk kering, pengurusan Zoo Bronx hanya meneliti Nadia kerana dia paling sakit.

“Nadia dah tunjuk petanda hilang selera.

“Harimau dan singa lain tak sakit sangat. Lagipun kami tak mahu suntik anesthesia kepada mereka semua.”

Nadia menjalani ujian X-ray, ultrasound dan ujian darah untuk pakar veterinar mengetahui apa yang membuatkan dia sakit.

Pengurusan Zoo Bronx mengambil keputusan untuk menguji semua binatang dalam zoo mereka susulan peningkatan ke COVID-19 di New York – yang menjadi kluster penularan wabak pandemik tersebut di Amerika Syarikat.

Zoo Bronx telah mula ditutup sejak pertengahan Mac lepas.

Nadia yang juga merupakan harimau pertama dimiliki oleh Zoo Bronx mula sakit sejak 27 Mac lepas menurut ujian yang dilakukan oleh U.S. Department of Agriculture National Veterinary Services Laboratories.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai wabak COVID-19: