Apabila gimnasium dibuka semula dua minggu yang lalu, ia memberikan sedikit kelegaan kepada pengusaha pusat senaman tersebut. Mana tidaknya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dan disambung Pelan Pemulihan Negara, gimnasium antara perniagaan paling lama ditutup.
Sepanjang PKP dan PPN, ramai yang turut mengambil kesempatan untuk membeli beberapa peralatan senaman untuk digunakan di rumah. Antara yang popular bagi penggemar angkat berat adalah kettlebell.
Dianggap sebagai alatan senaman yang mudah dikendalikan, kettlebell juga tidak memerlukan ruang yang besar semasa menggunakannya. Maka, ia menjadi pilihan yang sesuai walaupun anda tinggal di rumah seperti pangsapuri dengan ruang terhad.
Disebalik popularitinya pada hari ini, kettlebell sebenarnya mempunyai latar belakang yang sering diperdebatkan. Ini kisah disebalik alat senaman popular tersebut.
Sejarah dari beberapa buah negara
Umum mengetahui bahawa kettlebell berasal dari Russia. Carian di internet akan membuktikan dengan mudah bahawa ini teori paling popular. Bagaimanapun, ada juga kemungkinan bahawa Russia merupakan negara yang mempopularkan kettlebell sebagai alat senaman. Reka bentuk kettlebell yang dilihat dan digunakan pada hari ini juga berasal dari Russia.
Terdapat juga beberapa penemuan yang menunjukkan kettlebell mungkin berasal dari Greek. Idea ini dipelopori oleh seorang ahli sejarah dan juga penggemar sukan angkat berat. Dr Jan Todd di dalam kajiannya menjumpai bahawa kettlebell sebenarnya berasal dari haltere. Ia merupakan sejenis alat senaman yang digunakan pada zaman Tamadun Greek lagi.
Kettlebell juga dikatakan berasal dari Scotland. Ini dibuktikan dengan populariti alat senaman ini di Scotland sehingga termasuk di dalam sukan Highland Game. Seperti Olimpik yang berasal dari Greek, Highland Game adalah tradisi Scotland yang memfokuskan kepada pelbagai disiplin angkat berat.
Terdapat juga versi kettlebell ini berasal dari Turki, India dan China. Siapa sangka, alat senaman seperti kettlebell juga mempunyai perdebatan sejarah panjang tentang asal usulnya.
Variasi kettlebell mengikut kesesuaian pengguna
Perdebatan sejarah asal usulnya dilihat tidak berkesudahan. Namun begitu, kesemua peminat dan pengkaji bersetuju bahawa reka bentuk kettlebell moden berasal dari Russia. Russia juga bertanggungjawab menjadikan kettlebell popular di seluruh dunia.
Sama seperti dumbbell dan barbell yang mempunyai pelbagai berat, kettlebell juga mempunyai bebanan yang berbeza-beza. Ia datang dengan 10 berat yang berbeza iaitu 4kg, 6kg, 8kg, 10kg, 12kg, 16kg, 20kg, 24kg, 28kg dan 32kg.
Kettlebell lebih digemari kerana mampu membakar kalori dengan pantas berbanding banyak aktiviti lain. Tidak seperti senaman yang lain, kettlebell lebih memfokuskan kepada kardiovaskular dan juga meningkatkan tenaga.