Pembangun bisnes start-up, jika anda sudah jenuh membaca buku tentang start-up, sekali-sekala anda boleh mencari info dalam bentuk medium yang lain pula. Kali ini, kami mahu kongsikan dengan anda sebuah drama Korea yang menyentuh tentang pembangun bisnes start-up.

Sinopsis Start-Up

Seo Dal-mi (Bae Suzy) mahu ibu dan kakaknya menerima bahawa keputusan dia betul sewaktu memilih mahu mengikuti ayahnya yang berhenti kerja kerana mahu memulakan bisnes sendiri. Manakala, ibunya telah berkahwin dengan orang kaya dan tinggal di luar negara.
Ketika Dal-mi dalam kesedihan, neneknya meminta bantuan seorang remaja lelaki yang bijak matematik dan pelaburan untuk berutus surat dengan cucunya itu. Perhubungan baik itu membuatkan Dal-mi kuat menghadapi cabaran hidup.
Keadaan mula kelam-kabut apabila ‘Nam Do-San’ (Kim Sun-Ho/Nam Joo-Hyuk) yang kini merupakan orang penting dalam industri start-up dicari oleh Dal-mi yang masih tidak berganjak dengan cinta pertamanya itu.
Dalam masa yang sama Dal-mi masih mahu membuktikan dia seorang yang berjaya seperti Steve Job kepada ibu dan kakaknya di Silicon Valley Korea, Sandbox.

Ayah Inspirasi Pelopor Sandbox

Start-up mula dengan menarik dimana seorang ayah yang dibuli di pejabat nekad berhenti kerja walaupun dia sedar perniagaan ialah satu bidang yang menakutkan kerana akan sentiasa terjatuh dan tercedera.
Selepas membentangkan kertas kerja, bakal pelabur tertarik dengan cerita anaknya dan lantai pasir di mana jika jatuh di atas lantai pasir tidak sesakit jatuh di atas lantai konkrit. Begitulah juga dengan bisnes.
Dia berharap ada satu persekitaran yang akan membuatkan dia boleh menjalankan perniagaan tanpa rasa takut. Kisah ini telah menjadi inspirasi buat pelopor Sandbox.

CEO Tidak Berpendidikan Tinggi

Meskipun tidak memiliki segulung ijazah, Dal-mi pernah layak masuk ke universiti dalam bidang pentadbiran perniagaan. Dia berhenti belajar dan bekerja sambilan demi bisnes neneknya tanpa melupakan cita-citanya.
Ini menunjukkan Dal-mi seorang yang pandai hingga layak menjejakkan kaki ke universiti. Walaupun tidak sambung belajar, Dal-mi masih meneruskan pembelajaran secara tidak formal melalui pengalaman kerja, pembacaan buku dan menonton video.

Pemilihan CEO Di Sandbox

Sandbox menetapkan sesiapa sahaja boleh jadi CEO asalkan dia tahu akan trend semasa agar syarikat yang dipimpin selari dengan situasi dan kehendak semasa. Seseorang yang mahu jadi CEO perlu menyenaraikan kata kunci yang popular di media sosial.
Ia beri advantage kepada mereka yang selalu menggunakan media sosial kerana trend selalu cenderung dilihat pada topik-topik yang dibualkan oleh netizen. Tahu trend menunjukkan kemampuan serta kualiti yang diharapkan.

Pencipta Tidak Semestinya Jadi CEO

Pencipta sistem yang berjaya menghasilkan penyelesaian masalah kepada orang ramai akan kekal miskin apabila tidak tahu bagaimana sistem yang dibangunkan itu boleh memberi pendapatan kepada pencipta.
Malah, para pelabur akan takut meletakkan wang mereka dalam syarikat seperti itu kerana risau akan kerugian dan tidak jelas dengan perancangan perkembangan sistem di masa hadapan. Maka, pencipta seperti ini tidak semestinya jadi CEO. Dia memerlukan CEO!

Belajar Pembahagian Syer Saham

Dalam laporan syarikat ada dinyatakan senarai pemegang syer saham. Penting untuk beri kuasa kepada CEO pada permulaan perjalanan perniagaan di mana saham tidak boleh dibahagi sama rata dan tidak timbul konflik ketika membuat keputusan syarikat.
Dalam Start-up ini ditekankan beri sekurang-kurangnya 60 peratus saham kepada CEO. Itu menimbulkan rasa tidak adil kepada semua pengasas bersama. Apabila CEO berjaya kendalikan masalah ini, pasti jadi lebih mudah perjalanan syarikat.

CEO: Jadi Orang Baik Atau Dikritik

CEO ialah nahkoda syarikat yang akan membawa awak-awak merentasi gelora bisnes. Karaektor CEO mesti mencerminkan ketegasan, tidak takut membuat keputusan dan tidak takut dikritik. Seperti Han Ji-Pyeong berkata kepada Dal-mi, CEO tidak boleh tamak untuk menjadi orang baik dan tidak mahu dikritik. Pilih salah satu.

Terminologi Start-Up

Drama Korea Start-up ini menggunakan terma-terma perkataan yang biasa digunakan dalam dunia start-up. Memandangkan tidak ramai familiar, ada penerangan ringkas tentang perkataan-perkataan tersebut. Contoh, key-man, hackathon, angel investor, seed round/stage, pivot, incubator, burn rate dan exit stratergy.
Setakat episod 6 kini, drama ini tidak mengecewakan buat mereka yang mahu menceburi atau telah melakukan start-up. Ia satu perkembangan yang baik kerana ini pertama kali dicerminkan dari permulaan start-up. Sebelum ini sudah ditayangkan drama Korea, Search: WWW berkenaan kisah syarikat online media.
Anda boleh tonton Start-Up di Netflix yang masih belum ditayangkan kesemua episod lengkap. Masa tayangan ialah pada setiap hari Sabtu dan Ahad.