Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat pada 8 Julai ini bagi menentukan keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR).

Kali terakhir OPR diturunkan ialah pada 7 Julai tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak – 0.25 peratus dengan menjadikan kadarnya 1.75 peratus yang masih kekal digunapakai sehingga hari ini. Sekatan pergerakan diperketatkan di beberapa buah kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur adalah merupakan faktor tekanan yang membawa kepada penurunan terhadap perkembangan ekonomi. Kedua-dua Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini mempunyai nisbah sumbangan KDNK kepada ekonomi Malaysia pada tahun lalu masing-masing adalah sebanyak 24.3 peratus dan 16.1 peratus.

Biarpun kadar inflasi setakat ini masih berada di dalam trajektori BNM, pakar ekonomi merasakan situasi terkini lebih condong kepada keputusan untuk mengurangkan OPR berbanding mengekalkannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan kadar OPR?

Kredit gambar: https://www.emily2u.com/new-exhibitions-for-the-nation-60-years-of-central-banking-and-the-60-koleksi-bank-negara-malaysia/

OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank pusat yang menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam. Ini kerana semasa menjalankan operasi harian, rizab simpanan wang tunai di bank akan sentiasa berubah-ubah. Keadaan ini bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank serta deposit dan pengeluaran wang tunai yang dibuat oleh para pelanggannya.

Sebagai contoh, apabila seorang pendeposit membuat simpanan wang tunai di bank dan bank akan menggunakan semula wang tunai tersebut bagi tujuan memberikan pinjaman kepada individu atau institusi yang lain. Tiba-tiba, pendeposit tadi mengeluarkan semula wang tunai secara mendadak dan bank akan kekurangan wang tunai, maka bank tersebut terpaksa membuat pinjaman daripada bank lain dan dikenakan faedah.

Kesan pergerakan OPR kepada pengguna

Kredit gambar: https://www.lowyat.net/2019/181850/maybank-experiencing-severe-service-interruption-atm-meps-and-tac-delivery-also-affected/

Sekarang, kita sudah jelas tentang kesan pergerakan kadar OPR terhadap bank. Apa pula kesannya terhadap pendeposit biasa seperti kita semua?

Apabila kadar OPR turun, kadar faedah kepada pinjaman akan berkurang Maka, secara tidak langsung peminjam sedia ada dan bakal peminjam akan dapat manfaat. Pengurangan OPR akan memberikan kesan pada peminjam sedia ada dengan kadar yang berbeza. Biarpun kadar tersebut masih tertakluk pada Kadar Asas (Base Rate) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR), secara ringkasnya apabila OPR berkurangan maka BR dan BLR juga akan berkurangan.

Ini menunjukkan bahawa sebarang pengumuman untuk pengurangan OPR akan membantu melegakan beban hutang terutamanya untuk isi rumah. Ini kerana, isi rumah Malaysia antara yang mempunyai nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di dunia iaitu lebih 90 peratus pada tahun lalu. Namun begitu, 80 peratus daripada hutang ini adalah berasaskan kadar yang boleh berubah. Maka dengan penurunan OPR, ia akan menurunkan juga kadar pinjaman, sekali gus melegakan beban hutang kepada isi rumah.

Isi rumah juga bakal menikmati lebihan wang tunai untuk kembali dibelanjakan dan merancakkan semula ekonomi.

Kesan penurunan OPR kepada ekonomi

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/04/351915/tesco-grows-smaller-stores

Sewaktu menurunkan kadar OPR sebanyak -0.50 peratus pada 5 Mei tahun lalu, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa kadar tersebut melengkapkan ukuran kewangan dan fiskal untuk menampung impak ekonomi kepada perniagaan dan isi rumah serta menyokong perkembangan aktiviti ekonomi. Ini kerana, penurunan kadar tersebut merupakan tertinggi sejak penurunan sebanyak – 0.75 peratus pada Januari 2009, lebih sedekad yang lalu.

Secara ringkasnya, kadar OPR yang semakin menurun menunjukkan kedudukan ekonomi dunia tidak stabil. Namun begitu, penurunan OPR juga boleh dilihat dari sudut positif. Ini kerana secara tidak langsung, ia menunjukan inisiatif bank pusat untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara kembali pulih.

Sepanjang tahun lalu dan sehingga tahun ini, ketidaktentuan pasaran adalah disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang menjadi faktor utama dalam menyumbang kepada ketidakstabilan tersebut. Maka dengan adanya pengurangan ini, ia mampu mengukuhkan semula dasar fiskal negara untuk jangka masa sederhana.