Desas-desus tentang serpihan roket China bakal terhempas di permukaan Bumi akhirnya terjawab. Roket Long March 5B dilaporkan telah terhempas di kawasan Lautan Hindi semalam. Lokasi terhempas adalah di kedudukan 72.47° Timur dan 2.65° Utara, iaitu satu kawasan lautan di antara barat daya India dan Sri Lanka.

Roket Long March 5B sebelum ini dilancarkan pada 29 April lalu untuk menghantar modul teras stesen angkasa China iaitu Tianhe dengan berat 22,600 kg ke orbit pengoperasian di angkasa. Bagaimanapun, pegawai agensi angkasa lepas China dikatakan hilang kawalan terhadap roket tersebut. Roket tersebut yang dilancarkan pada Khamis lalu sepatutnya sudah melakukan pendaratan di Bumi.

Beberapa pakar sebelum ini meluahkan kebimbangan bahawa serpihan kapal angkasa itu boleh jatuh di kawasan penempatan penduduk. Bahagian teras roket seberat 18 tan itu adalah salah satu objek terbesar dalam beberapa dekad lalu yang akan menjunam ke arah atmosfera bumi tanpa kawalan. Teras ini adalah bahagian utama roket dengan ukuran 30 meter panjang, yang digunakan untuk melancarkan modul pertama stesen angkasa baharu China pada bulan lalu.

Agensi angkasa Russia, Roscosmos sebelum ini meramalkan roket itu akan memasuki ruang atmosfera Bumi selepas jam 7.30 pagi 9 Mei 2021 (semalam) waktu Malaysia, di selatan Indonesia di perairan Laut Timor. Bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai, Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pula dilaporkan berkata sebahagian besar komponen roket kemungkinan akan musnah ketika sebelum tiba di bumi.