Seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 telah diberhentikan daripada perkhidmatannya. Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadap beliau telah dikeluarkan Kementerian Pertahanan dan akan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Wan Ramly Wan Seman, berusia 39 tahun dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan diberhentikan setelah 19 tahun berkhidmat. Beliau juga bakal kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Tarikh penamatan perkhidmatan beliau sepatutnya pada 21 Januari 2023. Anggota tentera tersebut juga sepatutnya melaporkan diri untuk latihan penempatan semula pada Mac tahun depan. Kursus tersebut adalah bagi membolehkan beliau membuat beberapa persediaan sebelum menamatkan perkhidmatan bersama Tentera Darat.

Kronologi kes sehingga penamatan perkhidmatan

Kredit gambar: https://www.facebook.com/TenteraDaratMY/photos/4119379541432493

Pada tanggal 7 Julai yang lalu Wan Ramly dikatakan telah menolak pemberian vaksin ketika diarahkan berbuat demikian. Kemudiannya, beliau diarahkan untuk menghadiri beberapa sesi pertemuan dengan pihak atasan yang cuba meyakinkan beliau dengan kepentingan vaksinasi terbabit.

Menurut beliau, dalam salah satu daripada sesi yang dihadiri adalah bersama dengan tujuh orang daripada mereka termasuk pegawai pemerintah, pegawai bertugas, doktor dan seorang ustaz. Kemudian, pada 10 Julai, beliau telah didakwa di bawah empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972. Ini termasuk tidak mematuhi arahan untuk diberi vaksin yang wajib bagi semua anggota tentera.

Wan Ramly meminta agar kes tersebut dibicarakan di bawah Mahkamah Tentera tetapi pegawai pemerintah menolak permintaan tersebut. Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadap beliau kemudiannya dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan dan akan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Kenyataan Rasmi Tentera Darat Malaysia

Kredit gambar: https://www.facebook.com/TenteraDaratMY/photos/4290541234316322

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan telah mengesahkan bahawa seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19. Tindakan pemberhentian tersebut adalah susulan arahan terhadap setiap anggotanya yang diwajibkan bagi mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah yang ditetapkan. Bagaimanapun, menurut Tentera Darat Malaysia arahan tersebut mempunyai pengecualian iaitu kepada anggota yang tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin.

Menurut kenyataan itu lagi, kewajiban tersebut dikeluarkan atas dasar anggota Tentera Darat Malaysia yang hidup secara berkelompok bersama anggota yang lain. Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan turut berdepan kebolehjangkitan Covid-19.

Maka adalah wajar untuk semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan mereka, bahkan boleh menjangkiti keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Setiap anggota TDM perlu mematuhi dan menuruti perintah dikeluarkan bagi menentukan misi serta kesiapsiagaan organisasi tercapai.