Sekumpulan doktor berjaya menyelamatkan tangan seorang pekerja yang putus ketika mengendali mesin di sebuah bengkel di China dengan menjahitnya di kaki.

Pekerja tersebut, Xie Wei, berkata beliau pada mulanya tak pasti tangannya dapat diselamatkan atau tidak. Tetapi beliau tetap mencuba.

Ini kerana tangan Xie yang terputus itu kehilangan bekalan darah selama tujuh jam ketika beliau sedang mencari hospital yang boleh melakukan pembedahan penyambungan tisu. Xie berkata:

“Pada mulanya saya cuba hospital kerajaan paling dekat dengan bengkel dulu, tapi mereka kata mereka tidak mempunyai kepakaran untuk membantu.

“Selepas tujuh jam bertanya-tanya dan mencari, akhirnya saya jumpa sebauh hospital yang jaraknya kira-kira dua jam perjalanan kereta dari bengkel.

“Sepanjang tujuh jam tersebut, saya simpan tangan saya dalam beg plastik berisi ais dahulu.”

Doktor yang membantu Xie bernama Dr Tang Juyu. Beliau merupakan pakar kes penyambungan tisu dan pembaikan luka parah.

“Sebelum pembedahan, Dr Tang beritahu saya yang dia optimistik tangan saya boleh diselamatkan.”

Dr Tang membuat keputusan dengan menjahit tangan Xie yang putus di bahagian kaki merupakan langkah terbaik untuk menyelamatkan tangan tersebut. Ini kerana di bahagian kaki Xie, terdapat bekalan darah yang baik.

“Tangan itu kena kekal di bahagian kaki sampailah lengan Xie betul-betul pulih,” jelas Dr Tang.

“Di China ada kira-kira 20 kes sebegini dan semuanya berjaya. Pada tahun 2004, saya pernah menjahit tangan pesakit yang putus di bahagian perutnya. Pembedahan tersebut berjaya.”

Apabila Xie bangun daripada prosedur pembedahan, beliau pada mulanya terkejut melihat tangannya dijahit di bahagian kaki.

“Saya kata ini pelik. Langsung saya tak boleh percaya bila tengok tangan saya dijahit di kaki.

“Tangan saya hangat, tapi kebas dan tak ada rasa apa-apa.

Menurut Dr Tang, tangan Xie terasa kebas kerana beliau hanya membuat sambungan bekalan darah. “Sambungan saraf belum boleh dilakukan lagi,” katanya.

Kaki Xie pula tiada rasa apa-apa yang pelik. “Cuma kaki saya rasa berat sikit,” kata Xie.

Selepas sebulan lengan Xie pulih, barulah Dr Tang menjalankan pembedahan penyambungan tangan Xie semula. Pembedahan tersebut telah berjaya.

“Peringkat kedua pembedahan ini jauh lebih mencabar. Tapi setakat ini semuanya berjalan lancar.

Xie pulih tanpa sebarang komplikasi, telah dikeluarkan dari hospital dan kini sedang berehat di rumah.

Tetapi Xie memberitahu beliau masih belum boleh memusingkan pergelangan tangannya seperti biasa. Cuma jarinya sudah boleh digerakkan sedikit.

Dr Tang menjelaskan tangan Xie dijangka akan pulih sepenuhnya dalam sekitar enam bulan.

Menurut laporan media, pembedahan penyambungan tisu Xie itu dibiayai sepenuhnya oleh majikan bengkelnya. Kosnya mencecah ¥300,000 (RM183,480).

Baca juga artikel kami yang berkaitan:

Sumber: