Sejak dahulu lagi, peranti Apple dan sistem operasi Microsoft dianggap sebagai pesaing hebat. Kedua-dua syarikat ini bersaing rapat kerana Apple turut menghasilkan sistem pengendalian untuk peranti keluarannya. Maka, Apple dilihat lebih eksklusif berbanding pesaing yang lain.

Namun begitu, pada tahun 1997 lain pula ceritanya. Pada ketika itu, Apple bergerak tanpa pengasasnya, Steve Jobs. CEO mereka ketika itu bernama Gil Amelio dan syarikat gergasi teknologi itu sudah 12 tahun beroperasi dengan kerugian.

Bagi mendapatkan dana pelaburan, Apple terpaksa menerima pelaburan daripada pesaingnya, Microsoft. Sebanyak $150 juga dilaburkan oleh Bill Gates dan ia kembali menyelamatkan Apple. Ramai penganalisa teknologi melihat kemungkinan tanpa pelaburan tersebut, kita tidak dapat menikmati ciptaan Apple yang lain seperti iPhone.

Kegagalan projek Apple Newton

Kredit gambar: Apple Insider

Sejarah panjang Steve Jobs bersama Apple mempunyai naik turunnya. Biarpun merupakan pengasas dan insan penting, Jobs juga pernah ditendang keluar daripada syarikat tersebut.

Ketika itu, lembaga pengarah lebih memihak kepada John Sculley, CEO Apple dan lagenda pemasaran dari Pepsi. Perang dingin antara Sculley dan Jobs ini semakin berpanjangan apabila lembaga pengarah meminta agar Sculley menghalang Jobs dari melancarkan produk baru.

Newton merupakan peranti dengan skrin sesentuh, dan menggunakan pen khusus. Namun tanpa penglibatan Jobs, idea Apple Newton merupakan idea inovasi tetapi bersifat separuh masak. Menurut Sculley, sebanyak $100 juta dilaburkan bagi Newton.

Masalah Newton yang terawal dikesan termasuklah kegagalan membaca tulisan tangan. Selain itu juga, ia akan membaca tulisan tersebut sebagai kesalahan ejaan. Ia turut menjadi bahan ejekan oleh kartun popular The Simpsons.

Peranti ini juga terpaksa dijual dengan harga mahal bagi menampung kos inovasinya. Akhirnya, ia menjadi projek gajah putih yang memakan diri Apple.

Kembalinya Steve Jobs dan pelaburan Microsoft

Kredit gambar: YouTube

Bagi meredakan masalah yang melanda Apple, lembaga pengarah memanggil semula Steve Jobs pada tahun 1997. Gil Amelio dipecat dari jawatannya dan Jobs memangku tugas sebagai CEO.

Tugas pertama yang perlu diselesaikan Jobs ialah memetrai kerjasama dengan Microsoft. Melalui penyusunan semula oleh Jobs, projek Newton dihentikan serta merta.

Perjanjian Apple dan Microsoft ini dilancarkan pada Macworld Expo 1997. Kedua-dua Bill Gates dan Steve Jobs hadir dan mengumumkan kontrak perjanjian selama lima tahun.

Melalui perjanjian ini, versi terkini Mac kelak akan dilengkapi dengan Microsoft Office. Bill gates pula mengumumkan pelaburan sebanyak $150 juga untuk Apple.

Menurut Jobs, bagi melihat Apple terus berkembang dan kembali bersaing dalam dunia teknologi, perjanjian ini adalah penting. Ia bukan soal kemenangan buat Apple dan kekalahan buat Microsoft.

Ketika itu, idea Jobs ini bagaimanapun tidak disambut dengan baik oleh peminat Apple. Namun begitu, tanpa pelaburan Microsoft mungkin Apple sudah gulung tikar dan kita tidak dapat menikmati inovasi seterusnya pada hari ini.