Sejumlah 396 penumpang AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau melalui dua penerbangan berbeza diseru untuk tampil bagi menjalani saringan kesihatan dengan kadar segera.

Ini kerana daripada kesemua penumpang bagi kedua-dua penerbangan berasingan itu, enam daripada mereka telah disahkan positif COVID-19 menurut Dr. Suzalinna Sulaiman, Pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM).

“Bagi penerbangan Air Asia AK5742 pada 1hb Mei 2020 ada 156 orang penumpang semuanya dan empat didapati positif dan selebihnya 152 kita minta tampil untuk menjalani saringan kesihatan yang kedua termasuk 8 pelajar dan 144 orang awam. Mereka semua ini ada di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu,” katanya di sini hari ini.

Bagi penerbangan kedua pula pada 4hb Mei 2020 melalui pesawat Air Asia AK5740 yang membawa 246 penumpang, dua daripadanya turut didapati positif COVID-19.

Sehingga tengah hari Rabu pihaknya telah menjalankan ujian saringan kesihatan kepada 31 orang awam dan 8 pelajar universiti yang tampil. – Foto Astro AWANI

“Daripada jumlah itu seramai 64 adalah pelajar universiti dan 160 adalah orang awam dan melalui data mereka juga berada di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan juga Semporna. Jadi melalui kedua-dua penerbangan ini enam didapati positif termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun,” katanya lagi memetik laporan Astro Awani.

Tambah Dr. Suzalinna, sehingga tengah hari semalam pihaknya sudah melakukan ujian saringan kesihatan kepada 31 orang awam dan 8 orang pelajar universiti yang tampil dan merupakan penumpang bagi kedua-dua penerbangan berkenaan.

“Kita mengharapkan kerjasama daripada jumlah kesemua 396 penumpang tersebut supaya segera tampil menjalani ujian saringan kesihatan yang kedua memandangkan laporan yang diterima bagi kedua-dua penerbangan tersebut tidak mengamalkan penjarakan sosial dan itu akan menyebabkan risiko jangkitan yang amat tinggi walaupun mereka memakai pelitup,” katanya lagi.

Sehingga Selasa, negeri Sabah telah merekodkan satu kes baharu yang menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu bertambah kepada 328 kes, manakala 293 telah sembuh dan 31 kes lagi masih menerima rawatan di wad isolasi di hospital sekitar negeri Sabah.

Baca lagi artikel lain yang berkaitan dengan wabak COVID-19:

Sumber: