Susulan post Dr. Fariza Ramly di Facebook yang meminta pertolongan jurutera mekanikal di Malaysia untuk mencipta kotak aerosol untuk kegunaan prosedur intubasi pesakit COVID-19, stok peralatan tersebut di Hospital UIA (IIUM Medical Centre) kini telah mencukupi.
Dr. Fariza yang bertugas di IIUM Medical Centre memberitahu beliau terharu dengan keprihatinan orang ramai terhadap masalah yang dihadapi doktor ketika wabak COVID-19 ini.
Sebelum ini Rencah melaporkan masalah Dr. Fariza dan doktor di Malaysia yang sukar melakukan prosedur intubasi kepada pesakit COVID-19 kerana kekurangan isopod di hospital mereka.
Satu unit isopod yang diimport dari China dilaporkan berharga RM30,000 dan mengambil masa yang lama untuk dihantar ke Malaysia.
Masalah itu bukan sahaja dialami oleh para doktor di Malaysia, malahan doktor seluruh dunia juga. Di Taiwan, seorang doktor di sana telah mencipta dan mereka sendiri alternatif isopod yang dipanggil ‘kotak aerosol’.
Tetapi kotak aerosol tidak dibuat secara komersial. Untuk mendapatkan peralatan tersebut, doktor perlu pergi ke kedai tukang atau membuatnya sendiri berdasarkan dimensi rekaan yang telah dikongsi oleh doktor Taiwan itu.
Disebabkan kekangan itu, Dr. Fariza memikirkan alternatif lain. Beliau melukis sendiri idea beliau di sekeping kertas dan meminta jurutera mekanikal di Malaysia untuk merealisasikan ideanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta jurutera mekanikal tempatan untuk membuat kotak aerosol untuk kegunaan prosedur intubasi dan ekstubasi di IIUM Medical Centre.
Permintaan dapat sambutan baik
Permintaan Dr. Fariza itu mendapat sambutan baik dari ramai jurutera tempatan yang membaca kisahnya.
Salah seorang jurutera tersebut, Noor Shahiwan berkata beliau membuat beberapa kajian dan bacaan sebelum dapat menghasilkan prototaip kotak aerosol ciptaannya.
“Rupanya tak sempurna. Tapi saya percaya ia menepati ciri-ciri yang diperlukan,” kata Shahiwan menerusi sebuah video yang dirakamnya di Facebook.
“Cuma dua bahan yang digunakan. Pertama adalah bekas pendawaian. Dan yang kedua adalah, plastik alas meja sepanjang dua meter. Kos keseluruhan [untuk membuat] adalah sekitar RM12-15.”
Hospital sudah terima kotak aerosol
Dr. Fariza memberitahu di Facebook beliau pada 25 Mac, hospital beliau sudah menerima kotak aerosol tersebut secara percuma dari pihak yang prihatin.
“Kami sangat menghargai sumbangan anda. Buat masa ini institusi kami sudah menerima sumbangan ‘aerosol box’, tetapi saya percaya masih banyak pihak lain yg memerlukan bantuan tersebut. Bagi kawan2 yang memerlukan, boleh PM saya (masih ramai rakyat di luar sana yang dermawan).”
Beliau turut memberitahu doktor masih mengalu-alukan jurutera tempatan untuk membuat rekaan isopod dan powered air-purifier respirator (PAPR) yang ketika ini kehabisan stok di peringkat global.
“Dalam suasana getir ini mungkin kita boleh memohon jasa dan kerjasama para engineer untuk membuat rekaan peralatan lain yg doktor amat perlukan tapi buat masa ini tiada stok (secara nasional dan global) seperti #isopod dan powered air-purifier respirator (#PAPR).
“InsyaAllah, dengan adanya barang2 ini para doktor barisan hadapan akan jadi lebih kuat dan yakin.
“Semoga Allah merahmati semua usaha anda. Minta maaf jika saya tidak dapat membalas setiap mesej anda. Saya akan cuba beri maklumbalas jika masa mengizinkan.”
Jadi kepada jurutera tempatan semua, buktikan kepakaran anda dengan mencipta powered air-purifier respirator (PAPR) untuk doktor-doktor Malaysia pula!