Sejak tularnya isu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket penipuan Macau Scam yang didalangi oleh Alvin Goh dan Addy Kana baru-baru ini, beberapa orang selebriti telah dipanggil untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan tersebut.

Terkini, Nabil Ahmad dilaporkan salah seorang daripada 5 orang selebriti terkini yang dipanggil oleh SPRM. Kesemua selebriti terbabit diminta untuk tampil membantu siasatan berkenaan kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti ‘cuci duit’ hasil penipuan Macau Scam.

“Kes ini sudah selesai. Mereka tanya berkenaan pembukaan kedai minuman Bubble Bee di Seremban dan saya maklumkan ia belum beroperasi lagi.

“Selepas itu mereka terus tak tanya apa-apa lagi dan itu sahaja soalannya. Ini kerana kalau tiada kedai buat apa nak siasat,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai tarikh kedai minuman kendaliannya itu akan beroperasi, Nabil berkata dia menyerahkan segala-galanya kepada Shuib dan mungkin perlu tunggu sehingga kes tersebut selesai.

“Saya lega apabila tidak dikaitkan tapi saya harap kita dapat doakan untuk Shuib. Allah uji dia dan nak naikkan darjatnya,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

Sumber: