Kerajaan China mengejek kerajaan Amerika Syarikat (US) supaya ‘melindungi hak undang-undang perusuh ganas’ susulan peningkatan jumlah rusuhan susulan protes orang awam terhadap keganasan polis yang menyebabkan kematian George Floyd.

Pada 25 Mei 2020, George Floyd mati selepas lehernya dipijak oleh kaki seorang anggota polis di Minneapolis. Floyd ditahan polis selepas disyaki memalsukan cek.

Bagaimanapun tindakan empat orang aggota polis Minneapolis yang membiarkan Floyd – yang tak bersenjata dan tak melawan – mati dalam tahanan di hadapan orang awam menimbulkan kemarahan terutamanya dari rakyat berkulit hitam.

Susulan kematian Floyd, protes tercetus di beberapa bandar utama sekitar US. Situasi menjadi bertambah buruk apabila dua insiden berlaku:

  1. Ada peserta protes yang mengambil kesempatan protes ini untuk memecah masuk premis perniagaan dan mencuri.
  2. Ada sesetengah polis bertindak membalas protes dengan lebih banyak keganasan.

Cina kata ‘Black Lives Matter’

Bercakap dalam satu sidang media pada 1 Jun lepas, Menteri Luar China Zhao Lijian berkata nyawa orang kulit hitam ada makna (black lives matter) dan hak asasi orang kulit hitam Amerika mesti dipertahankan.

Zhao memberi komen itu selepas disoal oleh wartawan Bloomberg mengenai insiden protes di Amerika Syarikat.

“Diskriminasi perkauman di US masih lagi merupakan ‘penyakit sosial’. Protes yang berlaku ini menunjukkan keterukan masalah perkauman dan penguatkuasaan undang-undang ganas oleh polis di sana,” tambah Zhao lagi.

“Kami harap kerajaan US akan mengambil langkah-langkah jitu untuk memenuhi tanggungjawabnya melindungi hak minoriti seperti yang termaktub dalam Konvensyen Antarabangsa Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman.”

Embedded video
Menteri Luar China, Zhao Lijian berkata US perlu melindungi hak minoriti orang kulit hitam dalam insiden protes susulan kematian George Floyd. (Foto: MFA China)

Kenyataan China ini agak ironik kerana mereka sendiri berdepan dengan kritikan negara-negara Barat atas layanan buruk mereka kepada etnik minoriti Muslim Uyghur.

China ejek US

Luka US belum pulih, China sudah menabur garam di atasnya.

Pada 30 Mei lepas, rakan sejawat Zhao iaitu Hua Chunying menulis ciapan “I can’t breathe” dan memuatnaik gambar ciapan jurucakap kerajaan Amerika Syarikat, Morgan Ortagus.

“I can’t breathe” pula merupakan antara kata-kata terakhir George Floyd sebelum dia mati.

Sebelum ini, Ortagus mengutuk tindakan kerajaan China yang gagal mengotakan janji mereka kepada rakyat Hong Kong dengan memperkenalkan undang-undang sekuriti kebangsaan yang baru..

Undang-undang tersebut dianggap bercanggah dengan perlembagaan mini Hong Kong yang dipanggil ‘Basic Law’. Dalam ‘Basic Law’, Hong Kong dijamin mempunyai autonomi yang tinggi untuk memerintah tanpa campur tangan Beijing sehingga tahun 2047.

China: US kena sokong perusuh ganas mereka sebagaimana mereka sokong perusuh Hong Kong

Media kerajaan China pula baru-baru ini telah menerbitkan sebuah artikel yang bertajuk ‘US kena sokong perusuh ganas sebagaimana mereka sokong perusuh HK’.

Artikel tersebut ditulis oleh ketua editor akhbar kerajaan, Hu Xijin. Dalam artikel tersebut, China mengecam tindakan ‘cakap tak serupa bikin’ US yang turut melakukan kekerasan terhadap peserta protes.

China sebelum ini memberi amaran kepada Donald Trump untuk tidak masuk campur dalam urusan ‘hal dalaman’ mereka selepas kerajaan US memberi komen terhadap protes di Hong Kong.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: