FDA Luluskan Penggunaan Vaksin Pfizer Untuk Usia 12-15 Tahun

Dalam langkah bagi membendung pandemik Covid-19, pelbagai usaha diambil oleh Amerika Syarikat. Terbaru, vaksin daripada syarikat Pfizer-BioNTech diberikan kelulusan kecemasan untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia 12-15 tahun. Sebelum ini, penggunaan vaksin terhad sehingga usia 16 tahun sahaja.

Menurut Food and Drug Administration (FDA) keputusan ini adalah bagi melindungi kanak-kanak yang mungkin boleh terdedah dengan virus, lantas mempercepatkan lagi imuniti kelompok dan menamatkan pandemik. Menurut Pfizer-BioNTech, kajian mereka telahpun masuk ke fasa ujian klinikal ketiga dengan seramai 2,260 penerima berusia 12-15 tahun menunjukkan 100 peratus keberkesanan. Tiada sebarang alahan direkodkan daripada kumpulan penerima tersebut.

Setakat 11 Mei, seramai 45 peratus penduduk Amerika Syarikat telahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 32.8 peratus daripada mereka telah lengkap menerima dua dos suntikan.

Presiden Joe Biden semalam mengumumkan beberapa inisiatif untuk mempercepatkan lagi usaha vaksinasi dengan sasaran baharu iaitu 70 peratus penduduk bakal menerima suntikan pertama vaksin mereka sebelum 4 Julai 2021. Ini bagi membolehkan negara tersebut dibuka semula pada hari Kemerdekaan tersebut.

Uber dan Lyft turut bersama di dalam usaha ini dengan memberikan pengangkutan percuma dan dengan diskaun ke 80,000 pusat vaksinasi mulai 24 Mei hingga 4 Julai. Kerajaan Negeri New York pula memindahkan pusat vaksinasi ke tempat-tempat yang mempunyai akses besar kepada penduduknya seperti di stesen-stesen kereta api bawah tanah. Vaksin akan diberikan di sana tanpa perlu sebarang temu janji, dan penerima vaksin akan diberikan pas percuma selama tujuh hari untuk menaiki kereta api tersebut.

Bacaan Seterusnya