Sekumpulan pelajar dari Miami Ad School di Hamburg, Jerman mengilhamkan iklan bermesej #StayTheFuckHome kepada Netflix dengan menunjukkan spoilers cerita-cerita popular di tempat awam.

Oh kalaulah idea ini betul-betul jadi…

Iklan spekulatif (spec ads) yang dibuat oleh dua pelajar, Seine Kongruangkit dan Matithorn Prachuabmoh Chaimoungkalo itu dibuat bertujuan untuk menjayakan saranan penjarakan sosial (social distancing). Ia berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.

Menurut dua pelajar ini, mendedahkan spoilers rancangan Netflix popular di tempat-tempat orang berkumpul mungkin boleh membuatkan mereka cenderung untuk duduk di rumah.

https://youtu.be/jOhhsN_Le3E

Dalam iklan spekulatif tersebut, Seine dan Matithorn mencadangkan kepada Netflix supaya mendedahkan spoilers cerita popular seperti Stranger Things, Love Is Blind, Narcos, Money Heist dan Kingdom.

Menurut laporan Insider, Stranger Things merupakan cerita Netflix paling banyak ditonton dan paling banyak dibincangkan di media sosial pada tahun 2019.

Ia mengisahkan tentang sekumpulan remaja di Indiana pada era 80-an yang berhadapan dengan raksasa dari dimensi berlainan (yang dipanggil Upside Down). Raksasa ini masuk ke dunia mereka selepas kegagalan projek eksperimen kerajaan Amerika Syarikat semasa era Perang Dingin.

Selepas memasang spoilers di papan iklan, amaran akan diberikan kepada orang ramai di media sosial tentang kewujudan spoilers tersebut di tempat orang ramai berkumpul.

Bermakna jika orang ramai degil dan keluar juga, mereka akan ternampak spoilers cerita kegemaran mereka.

“Kita juga memberi amaran kepada orang ramai tentang kewujudan spoilers ini dalam tren dan stesen bas supaya mereka berfikir dua kali sebelum merayau,” tulis Matithorn di Ads of The World.

Netflix memberi maklum balas idea iklan spekulatif Seine dan Matithorn ini ‘idea kreatif’. Mereka juga menjelaskan iklan ini bukan iklan sebenar dari Netflix. Sebab itulah ia dipanggil iklan spekulatif.

Apa itu iklan spekulatif?

Iklan spekulatif atau spec ads dalam bahasa dunia pengiklanan bermaksud iklan yang dibuat untuk bakal klien, tanpa bayaran dari klien. Ia dibuat oleh pengarah seni (art director) dan penulis iklan (copywriter) sebagai cara untuk menunjukkan bakat mereka kepada bakal klien.

Baca juga artikel kami yang lain yang mungkin menarik perhatian anda: