Pasti anda pernah terjumpa mesin karaoke ataupun mengunjungi kedai-kedai karaoke. Ciptaan ikonik ini sebenarnya dianggap sebagai ciptaan yang mengubah malam-malam Asia buat selamanya.

Namun begitu, jarang sekali diperkatakan tentang pencipta mesin karaoke ini. Biarpun tidak terkenal, beliau diletakkan sebaris dengan pemimpin besar Asia seperti Mao Zedong dan Mohandis Gandhi.

Biarpun ciptaan beliau sangat ikonik, Daisuke Inoue langsung tidak berfikir untuk mempatenkannya. Ini kerana, pada pandangan beliau ciptaan mesin karaoke ini tidaklah sepenting dan secanggih ciptaan lain yang perlu dipatenkan.

Atas sebab tersebut, beliau terlepas wang royalti yang kini dianggarkan bernilai $100 juta (RM420 juta). Biarpun jumlah itu sangat tinggi, Daisuke langsung tidak menyesal. Ini kisah pemuzik yang berjaya mengubah Asia selama-lamanya.

Bermula sebagai pemuzik

Kredit gambar: The Star

Daisuke Inoue bukan lahir dalam keluarga yang senang. Dilahirkan pada tahun 1940 di Osaka, bapanya merupakan peniaga pankek. Ketika di sekolah, beliau merupakan pemain dram bagi sebuah kumpulan muzik.

Namun begitu, Daisuke bukanlah pemain dram yang berskil tinggi. Disebabkan oleh minat, beliau mula menceburi bidang pengurusan kumpuan muzik. Pada ketika itu, kumpulan muzik ini sering diundang sebagai pemuzik latar di kelab malam.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menyanyi di atas pentas, band miliknya akan memainkan muzik latar. Idea karaoke datang dari memenuhi permintaan ini.

Karaoke menjadi perniagaan

Kredit gambar: The Star

Apabila kumpulan muzik miliknya tidak mampu memenuhi undangan, Daisuke mula menggunakan kaset untuk merakam muzik latar. Idea menggunakan rakaman sebagai muzik latar ini menjadi popular pada tahun 1971.

Daisuke kemudiannya mula menyewakan beberapa mesin yang disiapkan dengan pemain kaset dan amplifier. Beberapa kelab malam di sekitar Kobe mula menyewa mesin ini dan idea karaoke terus mendapat sambutan yang hangat.

Bermula dengan idea okestra rakaman, karaoke tersebar ke seluruh Asia. Daisuke bagaimanapun tidak mempatenkan idea beliau ini. Hanya pada tahun 1975, seorang peniaga di Filipina mula serius menghasilkan mesin karaoke yang lebih baik.

Roberto del Rosario memfailkan paten bagi mesin karaoke “Sing Along System”.

Digelar Most Influential Asians of the Century

Kredit gambar: Alchetron

Tanpa sebarang paten, Daisuke tidak hidup kaya raya dengan ideanya. Hanya pada tahun 1999, majalah terkemuka dunia TIME mula memberikan perhatian yang serius kepada ciptaannya.

Daisuke menerima anugerah tersebut di Singapura. Menurut majalah TIME, sumbangan Daisuke ini berjaya mengubah malam-malam di Asia. Beliau menerima penghormatan yang sebaris dengan Mao Zedong dan Mohandis Gandhi.

Mao dan Gandhi dianggap berpengaruh mengubah budaya hidup China dan India. Daisuke Inoue pula dianggap berjaya mengubah malam-malam benua Asia.

Pada tahun 2004 pula, Daisuke dijemput untuk menerima Ig Nobel Peace Prize di Universiti Harvard. Ciptaan mesin karaoke ini dianggap sebagai jalan baru yang dirintis bagi menjadikan manusia mampu mempunyai sikap toleransi antara satu dengan yang lain.