Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyediakan portal khusus bagi pengeluaran simpanan khas RM10,000 bagi tahun 2022. Ini merupakan lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Pengeluaran khas sebanyak RM10,000 ini dikhususkan untuk semua ahli KWSP yang masih terkesan dengan pandemik. Setakat ini, pengeluaran khas KWSP bagi tahun 2022 ini merupakan pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar.

Kedua-duanya dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021. Pengeluaran simpanan ini adalah bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh pencarum dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan faktor kelembapan ekonomi.

Bagi pengeluaran kali ini, pencarum dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000. Jumlah minimun pengeluaran pula adalah RM50. Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pencarum yang berhasrat mahu mengeluarkan simpanan mereka.

1. Permohonan mula dibuka mulai 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

2. Pengeluaran ini akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April. 

3. Bayaran pertama akan dibuat pada 20 April 2022.

4. Pemohon perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1. Selain itu juga pemohon perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

5. Semakan status permohonan pula boleh dibuat bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my

6. Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan akan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa pemohon. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.