Bagi yang meminati drama Korea seperti Secret Garden dan Hospital Ship, anda pastinya mengenali aktres wanita, Ha Ji-won yang memainkan peranan penting sebagai watak utama dalam kedua-dua drama tersebut.

Ji-won yang merupakan lulusan Ijazah Perfileman dan Televisyen di Universiti Dankook itu juga boleh dilabelkan sebagai pelakon serba boleh kerana beliau pernah tampil dalam drama dan filem bergenre aksi, komedi, seram, drama, sukan dan perubatan.

Selain itu, dengan raut wajah awet muda, mungkin ada yang tidak mempercayai bahawa Ji-won kini sudah pun berusia 42 tahun.

Sehubungan dengan itu, pelakon yang membuat penampilan pertama di kaca televisyen menerusi drama New Generation Report pada tahun 1996 itu berkongsikan rahsia awet muda beliau.

Menurut sumber The Star, antara yang menjadi amalan pemakanan buat Ji-won dalam kehidupan sehariannya ialah dengan menikmati buah lemon pada setiap hari.

”Saya selalu ketawa kerana saya percaya dengan ketawa juga mampu menegangkan kulit muka saya,” ujar aktres terkenal Korea itu.

”Makan buah lemon adalah merupakan rahsia awet muda buat saya. Saya biasanya akan makan tiga biji buah lemon pada setiap hari.”

”Kerana rasa buah lemon itu masam, ia mempunyai kesan dalam menaikkan wajah saya dan dapat mengelakkan kedutan.”

Dari sudut kesihatan juga lemon sememangnya kaya dengan Vitamin C yang mampu memainkan peranan dalam merawat kulit sekaligus dapat mencegah kerosakan pada kulit.

Selain itu, lemon juga mengandungi Pottasium yang dapat menurunkan kadar tekanan darah dan memberi kesan positif kepada kesihatan jantung dan Vitamin B6 di mana ia bertindak dalam menukar makanan kepada tenaga.

Kredit foto: Instagram Ha Ji-won