Lagenda sukan bola keranjang Amerika Syarikat, Kobe Bryant dan anak perempuannya Gianna Bryant adalah antara sembilan orang yang terkorban dalam nahas helikopter di Calabasas, California. Bekas bintang Los Angeles Lakers itu berusia 41 tahun.

Polis mengesahkan tiada mangsa nahas yang terselamat dalam nahas helikopter itu apabila ia terhempas dan meletup.

Siapa Kobe Bryant?

Bryant merupakan atlet bola keranjang Amerika Syarikat yang mengabdikan keseluruhan 20 tahun kariernya hanya untuk Los Angeles Lakers. Beliau bersara pada April 2016.

Pencapaiannya dalam sukan bola keranjang mengagumkan. Beliau pernah menjadi Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA pada tahun 2008 dan MVP perlawanan akhir sebanyak dua kali. Beliau juga pernah dua kali menjadi juara penjaring NBA dan dua kali memenangi emas Sukan Olimpik.

Bryant paling diingati kerana pernah menjaringkan 81 mata ketika menentang Toronto Raptors pada 2006, jumlah jaringan kedua terbesar dalam sejarah NBA.

Bekas atlet yang fasih berbahasa Itali ini juga merupakan peminat bola sepak – terutamanya pasukan Serie A, AC Milan.. Beliau pernah memberitahu cara beliau membaca permainan dalam bola keranjang berasal dari pendidikan awalnya dalam sukan bola sepak.

Bryant dan isterinya Vanessa mempunyai empat orang anak: Natalia, Bianca, Gianna dan Capri.

Reaksi kematian Bryant

Berita kematian Bryant mendapat reaksi pelbagai dari komuniti sukan dan peminatnya seluruh dunia.

Shaquille O’Neal yang pernah bermain bersama Bryant di Lakers antara tahun 1996 hingga 2004 berkata,” tiada kata dapat menggambarkan kesedihan yang saya alami.” Beliau turut memuat naik gambar mereka berdua di Instagram dan menulis,” Saya sayangkan awak. Awak akan dirindui.”

Cristiano Ronaldo turut melahirkan rasa sedihnya ke atas berita pemergian Bryant. “Sedih apabila mendengar berita pemergian Kobe dan anak perempuannya Gianna. Kobe adalah lagenda dan inspirasi kepada banyak orang. Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya dan keluarga mangsa nahas yang terlibat.”

Ketika ini peminat Bryant sedang berkumpul di memorial sementara di hadapan Staples Center di Los Angeles untuk menabur bunga dan bola keranjang bagi memperingati memori lagenda tersebut.