Netizen sedang giat berkempen supaya Pos Malaysia memberikan bonus gaji sebulan kepada semua posmen. Ia berikutan dakwaan Pos Malaysia tidak akan memberikan bonus gaji kepada posmen sempena Hari Raya seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini.

Dakwaan tersebut timbul susulan cerita yang tular di Facebook ‘FB Masakan Utara Barat‘:

Tadi lepas abang Posmen ni selesai hantar surat dan barang yg aku beli online tu, ada org call dia,l epas jawab call tu dia terus duduk termenung di situ dalam keadaan basah lencun.

Masa tu tengah hujan lebat, aku tengok muka dia memang nampak sedih sangat, aku segan nak tanya sebab aku ingat dia baru putus cinta ka apakan. So aku suruh adik aku tanya dia kenapa muka nampak sedih.

Mulanya dia kata tak ada apa-apalah. Bila ditanya dua tiga kali akhirnya dia jawab, dia kata kawan dia call tadi bagi tahu tahun ni dorang tak ada bonus. Katanya tak pernah lagi jadi macam ni. Tahun lepas dapat jugak RM1000 tapi tahun ni tak dapat langsung. Dia kata dah lah kerja makin banyak tapi bonus pulak tak ada.

Dia cakap dalam keadaan sebak dan meleleh jugak air mata jantan dia. Dia kata dia sangat berharap dapat bonus tu. Dia nak kena tanggung family dia sebab ayah dia dah meninggal tiga tahun lepas. Nak bayar hutang motor, rumah sewa dan macam-macam lagi.

Gaji dia RM1k lebih ja. Aku nak tanya pihak Pos Malaysia Berhad dan Poslaju Malaysia, betulkah tahun ini tiada bonus? Bukankah sejak PKP ni barang Poslaju semakin banyak sangat?

Bila barang semakin banyak bermakna untung semakin banyak, lagipun minyak dah semakin murahkan? Kenapa tak boleh bagi bonus pada staff kamu? Sepatutnya kena bagi lebih dari tahun lepas bukannya langsung tak bagi.

Jangan jadikan COVID-19 sebagai alasan untuk tidak bayar bonus pada staff kamu. Kalau tak kerana COVID-19 dan PKP takkanlah korang nak dapat pelanggan ramai sampai berkali-kali gandakan?

Saya harap pihak berkenaan dan kerajaan Malaysia tolong bersuara bagi pihak posmen di Malaysia ini,kesiankanlah mereka wira barisan hadapan yang tidak didendang

Bonus tiada sebab rugi?

Isu utama yang dibangkitkan oleh netizen adalah ketidakadilan Pos Malaysia terhadap posmen-posmen mereka yang dilaporkan terpaksa bekerja lebih masa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengurus Kanan Pick Up & Delivery Pos Malaysia, Mohd Azilah A Rahim berkata, pihaknya turut menerima peningkatan jumlah pesanan Pos Laju sebanyak 35% sepanjang PKP.

“Kami menerima sehingga 770,000 bungkusan sehari dan jumlah ini meningkat melebihi kapasiti biasa Pos Laju iaitu 350,000 bungkusan sehari.

“Sebenarnya Pos Malaysia dan Pos Laju mempunyai banyak pengalaman untuk menghadapi waktu kritikal seperti ini.

“Oleh itu, kami menambah fasiliti pemprosesan supaya semua barang yang diterima dapat diserahkan kepada pelanggan,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Azilah berkata, untuk memenuhi permintaan pelanggan, penghantaran turut dilakukan pada hari Ahad dan kakitangan serahan Pos Laju bertugas bermula 8.30 pagi hingga 7 petang.

“Khidmat tambahan ini mengelakkan berlaku lambakan bungkusan di pusat Pos Laju dan mempercepatkan proses penghantaran kepada penerima,” katanya.

Tetapi disebalik kerja keras posmen ini, mereka difahamkan tidak akan menerima bonus raya pada tahun ini.

Ini kerana Pos Malaysia mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM35.4 juta berbanding kerugian RM19 juta dicatatkan tempoh sama tahun lepas.

Menurut Pos Malaysia, kerugian itu disebabkan oleh penurunan jumlah mel yang berterusan (14 peratus tahun ke tahun) selain kos khidmat Obligasi Perkhidmatan Universal (USO) yang meningkat.

Gaji posmen di takuk lama

Tetapi jika jumlah bungkusan yang diterima Pos Malaysia ketika PKP diambil kira, jelas ada potensi pendapatan Pos Malaysia meningkat.

Apabila pendapatan syarikat meningkat, dengan siapa lagi ia perlu dikongsi selain pekerja bawahan?

Malah netizen turut mempersoalkan kadar gaji pokok posmen yang masih belum melepasi paras RM2,000 sebulan, walaupun sudah berkhidmat sejak 1997!

Yang membuatkan netizen lebih geram adalah selepas melihat jumlah gaji, bonus dan elaun yang diterima oleh ahli-ahli lembaga pengarah Pos Malaysia.

Malah maklumat yang kami terima memberitahu Pos Malaysia sedang menyiasat identiti posmen yang bekerjasama dengan netizen untuk mendedahkan ketidakadilan ini.

Isu ini membuatkan netizen membuat petisyen dalam talian yang mendesak Pos Malaysia supaya memberi bonus raya kepada posmen.

Ketika artikel ini ditulis, petisyen dalam talian ini telah mengumpul lebih 5,000 tandatangan.

Semoga nasib posmen dapat dibela.

Baca juga artikel kami yang berkaitan: