Alor Setar bakal menjadi pulau dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berada di sebelah pantai merupakan antara kesan perubahan iklim (climate change) di Malaysia menjelang tahun 2050, menurut laporan 2020 Climate Central, Inc.
Agensi kajian bebas yang membuat kajian mengenai impak perubahan iklim turut memberitahu kehidupan 70% populasi penduduk benua Asia akan terjejas teruk akibat kenaikan paras air laut menjelang 2050.
Kenaikan paras air laut merupakan salah satu kesan perubahan iklim dunia.
Jika anda kata 2050 lama lagi, fikir balik semula. Jika anda lahir pada era 90-an, umur anda akan berada dalam lingkungan 50-an. Pada umur ini, besar kemungkinan anda mempunyai anak, cucu dan cicit yang perlu anda risaukan jika musibah ini berlaku.
10 kesan yang bakal berlaku apabila kenaikan paras air laut melanda Malaysia pada tahun 2025 adalah:
1. Alor Setar bakal menjadi pulau
2. Majoriti Lebuhraya PLUS (AH2) di utara akan tenggelam
3. Sebahagian besar kawasan utara Perak seperti Bagan Serai, Parit Buntar dan Kuala Kurau akan tenggelam
4. Sebahagian besar daerah Hilir Perak (Teluk Intan) dan utara Selangor (Sabak Bernam) akan lenyap dari peta.
5. Klang hilang dari peta
6. KLIA terletak di sebelah pantai
7. Muar banjir besar
8. Pekan dan Kuantan menjadi kawasan pertama di Pahang yang mengalami banjir besar
9. Kuala Terengganu mengecil dan menjadi beberapa buah pulau
10. Kuching mengecil dan menjadi beberapa buah pulau
Semua data ramalan ini diperolehi melalui kajian model CoastalDEM yang lebih tepat berbanding kajian model Shuttle Radar Topography Mission (SRTM).
Model CoastalDEM menggurangkan kesalahan pengukuran SRTM dan menunjukkan tanah yang terjejas akibat daripada perubahan iklim dengan lebih tepat.
Bagaimana dengan negara-negara Asia lain?
Jika anda menyangka Singapura akan lenyap dari peta akibat kenaikan paras air laut ini, anda silap. Kerajaan Singapura sebenarnya sudah bersedia sejak era awal 90-an lagi untuk menghadapi kesain kenaikan paras air laut dengan membina pelbagai infastruktur dan solusi semulajadi.
Indonesia pula dilaporkan sedang memulakan gerak kerja memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan Timur sebagai persiapan terhadap insiden ini. Ini kerana Jakarta diramalkan akan lenyap dari peta jika paras air laut naik.
Dianggarkan seramai 43 juta penduduk China, 19 juta penduduk Bangladesh, 26 juta penduduk Vietnam dan 17 juta penduduk Thailand akan menerima kesan paling teruk daripada insiden ini. Malah ia boleh menjadi lebih teruk jika faktor lapisan ais yang tidak stabil diambil kira.
Bandar-bandar utama seperti Shanghai, Mumbai, Jakarta Ho Chi Minh dan Bangkok juga dilaporkan akan lenyap dari peta.
Isu perubahan iklim perlu diambil serius
Ramai orang dewasa marah apabila aktivis alam sekitar remaja, Greta Thunberg tidak berselindung menyampaikan mesejnya supaya gaya hidup kita diubah untuk menyelamatkan bumi daripada kesan perubahan iklim.
Tetapi jika kita fikirkan semula, Thunberg mempunyai hak untuk marah. Ini kerana dalam masa 30 tahun akan datang, generasinya (dan anak-anak kita) akan mewarisi bumi yang ditinggalkan kita.
Jika kita bersikap acuh tak acuh dengan perubahan iklim dunia, ia bermakna kita sendiri membunuh anak-anak kita. Sikap generasi kita yang merosakkan bumi bertanggungjawab membuatkan bumi tidak lagi selamat untuk didiami oleh generasi muda.
Sudah sampai masanya untuk kita mengambil serius isu perubahan iklim dunia. Sudah sampai masanya untuk kita mula menjadikan isu perubahan iklim dunia sebagai setiap agenda politik dan sosi-ekonomi kita.
Kita sendiri dapat melihat kesan perubahan tabiat kita sebagai manusia kepada alam sekitar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Sungai-sungai menjadi jernih. Udara semakin segar. Pencemaran semakin berkurang.
Jika kita boleh mengubah sikap ketika wabak COVID-19, tiada lagi alasan untuk kita tidak mengubah sikap kita ketika krisis perubahan iklim dunia sedang berlaku sekarang.