Dr Amalina memberi lapan hujah balas selepas semalam Papa Gomo menuduhnya sebagai doktor praktikal ‘yang tak ada pengalaman merawat pesakit pun lagi’.
Ini susulan tindakan Dr. Amalina yang menegur Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang memberi cadangan mitos iaitu minum air suam mampu mengelak jangkitan COVID-19.
Dr. Adham memberi cadangan tersebut dalam satu rancangan terbitan TV1, Bicara Naratif.
Menurut Dr. Adham dalam rancangan tersebut, beliau menyarankan orang ramai di Malaysia untuk minum air masak suam kerana ‘virus tak suka panas’.
“Virus ini akan dinyahkan, disingkirkan masuk ke perut, Di perut ada asid, dia [virus] kalah. Kemudian dia akan disingkirkan. Yang penting kita kena singkirkan virus di kerongkong.”
Petikan kenyataan beliau boleh dilihat dalam video di bawah:
Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan itu, Dr. Amalina memberitahu cadangan Dr. Adham itu tidak direkomendasi kerana tiada bukti yang menyokongnya.
Dr Amalina menulis di akaun Twitter beliau:
“Tidak kiralah di mana anda dengar tips ini walaupun di TV nasional, tips ini adalah mitos. Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan batuk/bersin etiquette, duduk rumah dan amalkan social distancing 1 meter.”
Papa Gomo bidas Dr Amalina
Susulan teguran Dr. Amalina kepada Menteri Kesihatan baru ini, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris memberitahu pengikutnya bahawa Dr Amalina ‘doktor muda yang baru lagi’.
“Dia pun tak ada pengalaman untuk handle kes-kes yang mana merawat pesakit pun belum lagi. Dia banyak kepada praktikal.”
“Saya bukan nak memperlekehkan Dr. Amalina. Tapi pada saya Dr. Amalina ini muda dan tak tahu situasi semasa hari ini.”
Dr Amalina beri lapan hujah balas kepada Papa Gomo
Kenyataan Papa Gomo yang menekankan kekurangan pengalaman Dr. Amalina hanya kerana umurnya yang muda membuatkan beliau kembali memberi respons melalui lapan hujahnya.
“[Pertama] En. Azri, terlebih dahulu saya minta jangan politikkan isu kesihatan.
“Kedua, umur saya 33 tahun. Bukan 20 lebih.” Papa Gomo sebelum ini memberitahu pengikutnya bahawa Dr. Amalina ‘doktor yang masih muda dan berumur dalam 20 lebih’.
“Ketiga saya bekerja sebagai Specialist Registrar bukan doktor praktikal. Encik Azri tahu tak beza specialist dengan houseman?
“Keempat, saya bekerja di hospital dan merawat pesakit COVID-19 di tempat kerja saya. Tak perlu rasanya saya hendak tunjuk CV atau membandingkan siapa yang mempunyai lebih pengalaman.
“Kelima, etika doktor perubatan mengatakan kami perlu mengikut evidence-based medicine apabila memberi kenyataan. Keenam, kenyataan yang saya buat bukan saya buat sendiri tetapi ia adalah saranan WHO dan daripada pakar-pakar virologi dan mikrobiologi dari seluruh dunia.
“[Keenam], doktor Malaysia lain seperti Dr Rafidah Abdullah dan Dr Imelda Balchin juga memberi kenyataan sama. Mereka mempunyai berpuluh tahun pengalaman. Adakah pendapat mereka tidak valid juga? Kenapa tidak tag mereka di sini?
“Ketujuh, cukup-cukuplah anda dan rakan-rakan anda tag saya di sini, please move on.
“Kelapan, saya tidak kata pun tak payah minum air, saya sudah cakap minum air itu bagus untuk hidrasi. Tapi saya cuma betulkan fakta sahaja. Jadi minumlah air. Tidak ada siapa yang nak larang. Saya doakan anda semua sihat dan selamat.”
Dr. Amalina kemudiannya mengakhiri penjelasan hujahnya dengan meminta isu ini tidak dipanjangkan. “Kita ada kerja lain yang lebih penting untuk dibuat,” katanya.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 di Malaysia: