Pelari pecut dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli digantung empat tahun daripada sebarang aktiviti berkaitan olahraga selepas didapati bersalah berhubung penggunaan barang terlarang.

Pelajar tingkatan lima itu disahkan positif doping susulan keputusan ujian yang dilakukan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) ketika Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Ogos lalu.

Menurut sumber Sinar Harian, Syazrul menggunakan dua bahan terlarang iaitu Methasterone dan Oxymetholone. Bahan-bahan itu merupakan jenis steroid androgenik anabolik yang terdapat pada suplemen diambil pelari tersebut.

Presiden KOM, Datuk S M Muthu dalam pada itu mengakui keputusan itu diambil selaras dengan peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan Syazrul turut diberikan tempoh untuk membuat rayuan berhubung hukuman diterimanya.

“Kami di KOM memandang serius isu doping dan sentiasa mengikuti peraturan WADA. Atlet itu [Syazrul] diberikan tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerusi KOM.

“Kami tidak mengetahui bahawa suplemen yang diambil selama dua tahun itu mempunyai bahan terlarang, tetapi kami tetap perlu memberikan hukuman ini kerana bahan itu dikesan pada badannya,” ujar Muthu kepada wartawan di Wisma OCM.

Muhammad Syazrul merupakan pelari kelahiran Pulau Pinang dan pernah membawa cabaran negeri tersebut dalam acara 100 dan 200 meter di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dengan menamatkan saingan di tempat ketujuh (100m) dan kelima (200m)

Kredit foto: DW.com