PETRONAS mengumumkan akan menghulurkan bantuan sebanyak RM20 juta untuk membantu barisan depan di hospital-hospital tempatan membendung penularan wabak COVID-19.
Petronas melalui subsidiari badan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, Yayasan PETRONAS, turut memberitahu bantuan diberi dalam bentuk bekalan dan alat perubatan.
Ia akan diberi dalam beberapa peringkat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menurut PETRONAS, KKM dan NADMA akan menyalurkan bekalan dan alat perubatan yang kritikal seperti ventilator, katil dan tilam hospital, kamera pengimejan termal, termometer digital, kit ujian virus, pelindung hidung dan mulut serta peralatan perlindungan peribadi (PPE) ke hospital yang diwartakan untuk COVID-19 dan pusat kuarantin.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata bantuan ini dihulurkan sebagai tanda komitmen PETRONAS untuk memperbaiki kesejahteraan masyarakat.
“Kami melahirkan rasa terima kasih kepada semua warga kerja kesihatan dan penguatkuasaan yang bekerja keras bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Mereka memerlukan segala bantuan yang diterima kerana ketika ini ada lebih seribu pesakit dirawat disebabkan penyakit ini.”
PETRONAS sebelum ini pernah menyumbang berkarton-karton air mineral dan roti ban Mesra kepada staf perubatan yang bertugas di Pusat Penskrinan COVID-10 di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Sumbangan yang dibuat melalui satu lagi subsidiarinya, PETRONAS Dagangan Berhad ini turut diberikan dalam bentuk air mineral Mesra kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Sumber: Yayasan Petronas