Persaingan di antara pengendali penstriman video berbayar semakin hangat di seluruh dunia. Netflix, Amazon Prime dan Disney+ semakin dikenali dan dilanggan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Namun begitu, terdapat ketepuan dan kebuntuan pasaran di beberapa buah negara. Salah satunya ialah India, dengan kebanjiran pilihan penstriman video berbayar tempatan dan antarabangsa.

Sekitar tahun 2018, CEO Netflix menjangkakan syarikatnya bakal menerajui pasaran penstriman video di India. Ini kerana, pasaran besar tersebut mempunyai kemudahan internet yang murah dan mudah untuk didapati.

Ketika itu, Netflix menganggarkan sekitar 100 juta pelanggan berbayar dari India bakal melanggan perkhidmatannya. Namun begitu, jangkaan tersebut jauh meleset pada hari ini.

Pasaran yang sangat besar

Kredit gambar: Factor Daily

Menurut kajian Bank Dunia, capaian internet di India dinikmati oleh lebih 41 peratus daripada populasinya. Ini bermaksud, seramai 749 juta rakyat India mempunyai akses kepada jaringan internet.

India merupakan negara ikonik apabila bercakap tentang industri hiburan. Pada tahun ini sahaja, pendapatan bagi industri perfileman di India dijangka mencecah RM10.1 bilion. 

Ketika pandemik, industri hiburan dan perfileman Bollywood menghadapi kerugian sebanyak RM1.4 bilion. Walhal, mereka sebelum itu menjangkakan pendapatan sebanyak RM9 bilion untuk tahun 2019.

Pilihan hiburan yang rencam

Kredit gambar: Paste Mag

Tidak seperti industri hiburan di negara lain, India memiliki penonton yang rencam. Ini dibuktikan dengan pemilikan set televisyen sehingga 200 juta isi rumah. 

Selain itu juga, kerencaman ini ditambah lagi dengan pilihan harga serendah RM16 sebulan. Pilihan utama pelanggan ialah filem. Sukan dan berita menjadi pilihan sampingan bagi memenuhi kehendak hiburan mereka. 

Pelbagai langkah diambil oleh Netflix untuk menarik minat pelanggan baru di India. Sebanyak RM1.6 bilion telah dilaburkan bagi pembikinan 50 buah filem dan program realiti tv. Daripada jumlah tersebut, 30 daripadanya berbahasa Hindi.

Namun begitu, data menunjukkan program realiti tv yang dihasilkan Netflix juga jauh ketinggalan.

Dilihat sebagai mahal dan premium

Kredit gambar: DNA India

Netflix seringkali dikaitkan dengan kandungan antarabangsa berbanding kandungan tempatan. Sebagai contoh, filem dan drama seperti Squid Game, Money Heist dan Narcos. Maka, penghasilan kandungan tempatan mereka sukar menembusi minat pengguna.

Persaingan harga juga menjadikan Netflix kurang diminati. Bagi membendung masalah tersebut, Netflix memperkenalkan harga baru untuk pengguna telefon pintar. Harga asal dipotong sebanyak 60 peratus kepada hanya RM8 sahaja sebulan. 

Unjuran pasaran menunjukkan Netflix hanya memiliki 5.5 juta pelanggan di India. Jauh ditinggalkan oleh Disney+ Hotstar dengan 46 juta pengguna dan Amazon Prime dengan 19 juta pelanggan.

Disney+ juga dilihat pantas mendominasi pasaran dengan kandungan sukan. India merupakan negara yang sangat menggemari sukan kriket dan Disney+ mengambil kesempatan itu dengan membeli kandungan Indian Premier League (IPL).

Maka, Netflix dilihat tidak mampu untuk mencapai sasaran 100 juta pelanggan mereka.